Veteran ATM Diseru Terus Aktif Perkukuh Keharmonian Komuniti
DEBAK: Golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diseru agar terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh keharmonian dan perpaduan masyarakat, selari dengan aspirasi pembangunan komuniti yang inklusif dan sejahtera.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata komitmen berterusan PVATM sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang aktif melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan, sekali gus memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan sosial di peringkat akar umbi.
“Penglibatan berterusan veteran ATM dalam aktiviti komuniti amat penting bagi mewujudkan suasana aman dan saling menghormati di setiap kawasan.
“Saya menyeru semua ahli persatuan agar terus proaktif serta bekerjasama dengan pelbagai agensi demi menjayakan program yang memberi impak positif kepada rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan 2026 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Betong/Saratok/Kabong di Dewan Millennia, Debak, pada Sabtu.
Beliau menegaskan bahawa pengalaman serta disiplin yang dimiliki oleh para veteran merupakan aset penting dalam memperkukuh perpaduan dan membentuk masyarakat yang harmoni.
Pada masa sama, beliau turut mempelawa PVATM untuk menganjurkan program khas sempena Sambutan Hari Sarawak di Daerah Kecil Debak sebagai platform mengeratkan hubungan antara veteran dan masyarakat setempat.
Sebagai tanda sokongan, beliau menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 bagi membantu pelaksanaan aktiviti persatuan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato’ Dr. Richard Rapu @ Aman Begri, dalam ucapannya menyeru para pesara tentera agar terus menyumbang bakti kepada negara melalui penglibatan aktif dalam persatuan dan kegiatan kemasyarakatan.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa komited menjaga kebajikan serta keperluan anggota tentera, khususnya golongan veteran, bagi memastikan kesejahteraan mereka terus terpelihara.
Sebagai sokongan terhadap peranan PVATM, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 bagi membantu menjayakan aktiviti yang dirancang oleh persatuan berkenaan. — EDISI UKAS