Zon Barat Dominasi Berpasukan, Zon Utara Unggul Perseorangan Ping Pong SUKSAR IV 2026
SRI AMAN: Pasukan Zon Barat dan Zon Utara masing-masing muncul kuasa dominan dalam acara Ping Pong Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang berakhir di Dewan Suarah Sri Aman pada Ahad.
Zon Barat mengesahkan penguasaan dalam kategori Berpasukan Lelaki dan Wanita, sekali gus muncul juara keseluruhan acara berpasukan, hasil persembahan konsisten sepanjang kejohanan.
Sementara itu, Zon Utara menyerlah dalam kategori perseorangan dan beregu, merangkul kejuaraan utama dalam beberapa acara individu yang dipertandingkan.
Dalam kategori Beregu Wanita, pasangan Ava Tiong dan Kong Zhi Qin (Zon Utara) muncul juara, manakala Beregu Lelaki dimenangi oleh pasangan Jason Wong dan Yip Wei Rong (Zon Barat).
Bagi kategori Beregu Campuran, pasangan Raphael Wong dan Josyne Ngu (Zon Utara) meraih pingat emas.
Kecemerlangan Zon Utara diteruskan dalam acara Perseorangan Wanita menerusi kemenangan Ava Tiong Yu Jie, manakala Perseorangan Lelaki dimenangi Raphael Wong Li Xuan, juga dari zon berkenaan.
Majlis penyampaian pingat yang berlangsung pada jam 11.30 pagi itu menyaksikan kejayaan para atlet diraikan dalam suasana penuh semangat kesukanan.— EDISI UKAS