250 Keluarga di Tanjong Datu Terima Sumbangan PETRONAS Sempena Tahun Baharu Cina
LUNDU: Seramai 250 keluarga daripada golongan memerlukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu menerima sumbangan bakul makanan sempena sambutan Tahun Baharu Cina menerusi Program PETRONAS Memacu Kehidupan di Dewan Masyarakat Daerah Lundu, pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N3 Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan, merakamkan penghargaan kepada PETRONAS kerana memilih Tanjong Datu sebagai salah satu daripada 45 daerah di Sarawak yang terlibat dalam pelaksanaan program berkenaan.
“Saya harap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan, termasuk sempena perayaan utama lain seperti Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) yang menekankan prinsip pembangunan inklusif dan kebajikan menyeluruh,” katanya semasa berucap merasmikan program tersebut.
Dalam pada itu, Azizul turut mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada masyarakat yang meraikannya, serta menasihatkan orang ramai yang pulang ke kampung halaman agar sentiasa mengutamakan keselamatan perjalanan.
Sebelum majlis utama berlangsung, ADUN Tanjong Datu bersama rombongan turut turun padang menyantuni beberapa penerima dengan menyampaikan sumbangan bakul makanan secara terus ke kediaman mereka, antaranya di Jalan Melintang Pekan Lundu dan Kampung Pulo Ayer, Lundu.
Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Perhubungan Negeri PETRONAS Anuar Ismail, Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail, Pengurus Kanan PETRONAS Sarawak Nor Azam Abg Zawawi, Pemanca Chin Kian Ming serta ketua-ketua kaum dan masyarakat Daerah Lundu.-EDISI UKAS