Kerajaan Sarawak Perkukuh Pembangunan Luar Bandar Menerusi Projek LCDA di Matu & Igan
MATU: Komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan luar bandar diterjemahkan menerusi lawatan tapak projek serta sesi taklimat kemajuan pembangunan di bawah pelaksanaan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) di Daerah Matu dan Daerah Kecil Igan.
Lawatan pada Ahad tersebut diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya bagi meninjau status terkini beberapa projek pembangunan strategik yang sedang dilaksanakan.
Dalam sesi taklimat yang disampaikan oleh Pengurus Kanan Bahagian Pembinaan dan Kejuruteraan Lembaga Pembangunan Ekonomi Sarawak, Joehari Iskandar Effendi berkata, tumpuan diberikan kepada kemajuan pembangunan Medan Selera yang merupakan sebahagian daripada pelan Pembangunan Bandar Baru Matu.
Menurut beliau, pembangunan tersebut turut merangkumi pembinaan rumah kedai, pasar serta kotej industri yang bertujuan merangsang aktiviti ekonomi tempatan, mempertingkatkan kemudahan awam serta menyediakan infrastruktur lebih tersusun kepada penduduk setempat.
Katanya, Medan Selera berkenaan juga dijangka mula beroperasi selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Lawatan itu turut disertai wakil Pejabat Daerah Matu, Majlis Daerah Matu Daro, Sarawak Energy Berhad serta pegawai LCDA sebagai sebahagian daripada usaha pemantauan bersepadu bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar mengikut perancangan.
Dalam rangka lawatan yang sama, Datuk Dr Juanda turut meninjau kemajuan Projek Pusat Perkhidmatan Igan di Daerah Kecil Igan.
Taklimat yang disampaikan memaklumkan bahawa kerja-kerja pembersihan tapak dan tanah telah disiapkan sepenuhnya pada Disember 2025 sebagai persediaan kepada fasa pembinaan seterusnya.
Cadangan pembangunan di Pusat Perkhidmatan Igan merangkumi pembinaan stesen minyak, medan selera, tamu, rumah kedai mini dua tingkat serta rumah kedai dua tingkat yang dijangka dapat merancakkan aktiviti ekonomi setempat di samping menyediakan kemudahan lebih sistematik kepada penduduk dan pengunjung.
Secara keseluruhannya, kedua-dua projek pembangunan ini dijangka saling melengkapi sebagai pemangkin baharu pertumbuhan sosioekonomi Daerah Matu dan kawasan pesisir Igan, selaras dengan agenda pembangunan Sarawak yang inklusif, seimbang dan berteraskan kesejahteraan rakyat.- EDISI UKAS