SAINS Perkenal Platform AI Berdaulat Perkukuh Keselamatan Data Sarawak
KUCHING: Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) melaksanakan Platform Kecerdasan Buatan Berdaulat (Sovereign AI) sebagai langkah strategik Kerajaan Sarawak bagi memperkukuh kedaulatan data serta keselamatan maklumat negeri dalam era digital.
Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, Busiai Seman berkata, inisiatif tersebut memastikan penggunaan kecerdasan buatan dalam operasi kerajaan dilaksanakan sepenuhnya di bawah kawalan Sarawak, khususnya dari aspek pemilikan data dan infrastruktur digital.
“Teknologi baharu yang ingin kami perkenalkan kepada Kerajaan Sarawak, khususnya AI, adalah bagi memastikan ia berada sepenuhnya di bawah kawalan kita sendiri.
"Itulah sebabnya SAINS melabur dalam Platform AI Berdaulat,” katanya dalam temu bual selepas majlis SAINS Spotlight 2026 di sini pada Isnin.
Beliau menambah, melalui platform tersebut, semua pemprosesan data dan aplikasi AI dilaksanakan di pusat data SAINS menggunakan infrastruktur GPU sedia ada, sekali gus menghapuskan kebergantungan kepada perkhidmatan awan awam serta mengurangkan risiko keselamatan data.
Busiai menjelaskan, kecerdasan buatan digunakan sebagai sokongan operasi bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti, khususnya dalam melaksanakan tugasan rutin supaya penjawat awam dapat memberi tumpuan kepada tugasan peringkat lebih tinggi.
Selain AI Berdaulat, SAINS turut memperkenalkan teknologi Digital Twin yang membolehkan data divisualkan dalam bentuk tiga dimensi, sekali gus menyokong analisis maklumat dan pembuatan keputusan yang lebih berkesan.
Pengerusi SAINS, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam pula berkata, teknologi perlu dimanfaatkan sebagai pemacu strategik pembangunan dan bukan sekadar fungsi sokongan.
“Teknologi hari ini merupakan teras kepada perancangan, penyampaian perkhidmatan dan pembangunan ekonomi, justeru ia perlu digunakan secara bijaksana, bertanggungjawab dan berimpak bagi memastikan Sarawak terus berdaya saing,” katanya.
SAINS Spotlight 2026 yang bertemakan “Intelligence-Driven Applications: Designing the Future Today” menghimpunkan lebih 400 peserta daripada kementerian dan agensi Kerajaan Sarawak, sektor swasta serta institusi pengajian tinggi, dan berfungsi sebagai platform perkongsian teknologi serta inovasi digital terkini.
Secara keseluruhannya, penganjuran SAINS Spotlight 2026 mencerminkan komitmen SAINS dalam menerajui transformasi digital Sarawak melalui pendekatan berfokuskan kedaulatan data, keselamatan maklumat dan penggunaan teknologi berimpak tinggi.- EDISI UKAS