Inovasi MUDeNR Jadi Tumpuan Dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara
KUCHING: Inovasi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (MUDeNR) yang dibangunkan menerusi platform Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) menjadi tumpuan dalam mesyuarat Majlis Tanah Negara.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kejayaan tersebut bukan sahaja meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek dan program kerajaan, malah turut menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa, kebangsaan dan negeri.
“Antara kejayaan utama hasil penyertaan dalam KIK yang telah diadaptasi bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan ialah pelaksanaan sistem eSPA serta inisiatif ‘Same Day Registration’ yang telah mendapat pensijilan ISO di samping beberapa intervensi lain seperti sistem pemantauan bagi kerja-kerja ukur tanah dan pengambilan balik tanah turut berjaya dibangunkan.
“Semua ini merupakan hasil daripada budaya inovasi yang diterapkan menerusi KIK dan apabila saya menghadiri Mesyuarat Majlis Tanah Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, ramai yang terkejut apabila dimaklumkan bahawa Sarawak telah berjaya mempertingkatkan penyampaian perkhidmatannya sehingga urusan pendaftaran tanah dapat diselesaikan dalam tempoh satu hari,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penutupan Konvensyen KIK 2026, di sini pada Khamis.
Malah jelas beliau, kejayaan ini masih belum dilakukan oleh negeri-negeri lain di Malaysia, menjadikan Sarawak menjadi yang pertama melaksanakan inovasi seumpamanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak II turut menonjolkan kejayaan inovasi SaraPeg yang dibangunkan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak sebagai antara pencapaian paling membanggakan.
“Satu lagi pencapaian yang wajar diberi pengiktirafan ialah SaraPeg, inovasi yang dibangunkan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
“Ini merupakan inovasi pertama jabatan yang berjaya melengkapkan keseluruhan kitaran pembangunan KIK, bermula daripada pencetusan idea, pembangunan produk, pendaftaran paten, pengeluaran secara besar-besaran sehingga ke peringkat pengkomersialan,” ujar beliau lagi.
Tambahnya, pencapaian itu membuktikan kreativiti dan komitmen penjawat awam mampu menghasilkan perubahan besar dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju inovasi sektor awam di Malaysia.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap MUDeNR Datu Abdullah Julaihi, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Datu Sr Zaidi Mahdi, Controller Kualiti Alam Sekitar Sarawak Datu Jack Liam, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Datu Zainal Abidin Abdullah dan Pengurus Besar ‘Sarawak Forestry Corporation’ (SFC) Abang Arabi Abang Aimran. -EDISI UKAS