Perlindungan Kanak-Kanak Diperkukuh Melalui Advokasi Menyeluruh & Garis Panduan Digital
KUCHING: Usaha memperkasa perlindungan kanak-kanak mangsa penderaan terus diperkukuh melalui pemantauan rapi pihak berkuasa serta sokongan berterusan menerusi talian bantuan 15999.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, kes melibatkan mangsa penderaan sebelum ini masih berada di bawah jagaan dan pemantauan pihak berkuasa di hospital dengan kawalan ketat dilaksanakan termasuk larangan lawatan luar bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan mangsa.
“Kami hanya meminta agar masyarakat tidak mudah melakukan penderaan. Bayangkan jika kita sendiri berada di tempat mangsa, bagaimana perasaan kita. Letakkan diri kita di tempat mereka,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis penutupan Program PERANTIS dan Pameran Dayung Warisan di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Nancy menekankan kepentingan program advokasi sebagai medium utama meningkatkan kesedaran dalam kalangan semua lapisan masyarakat, merangkumi kanak-kanak dan golongan dewasa.
Menurut beliau, pendedahan mengenai saluran bantuan seperti talian 15999 kini turut diberikan kepada kanak-kanak agar mereka mengetahui langkah melindungi diri, khususnya sekiranya penderaan berlaku dalam lingkungan keluarga sendiri, sama ada melibatkan ibu bapa atau penjaga.
“Kanak-kanak hari ini sudah didedahkan tentang cara mendapatkan bantuan. Ini amat penting kerana ada kes penderaan berlaku di rumah sendiri,” jelasnya.
Beliau menambah, pelaksanaan program advokasi tidak hanya tertumpu di sekolah, sebaliknya diperluaskan ke pusat aktiviti kanak-kanak serta komuniti setempat bagi memastikan mesej keselamatan kanak-kanak dapat disampaikan secara menyeluruh, termasuk kepada pelajar yang tidak berpeluang menghadiri ceramah di lokasi tertentu.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato’ Sri Nancy turut memaklumkan bahawa slot khas berkaitan kecerdasan buatan (AI) akan diperkenalkan dalam program advokasi sebagai langkah proaktif menangani cabaran keselamatan digital.
Slot tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai penggunaan teknologi AI serta kawalan terhadap platform digital seperti Roblox bagi mengelakkan pengaruh dan kesan negatif terhadap kanak-kanak.
Beliau turut menegaskan bahawa penyedia perkhidmatan digital kini semakin berhati-hati dalam memastikan aspek keselamatan kanak-kanak terjamin, dengan aktiviti pengguna dikawal mengikut tahap dan keupayaan mereka.- EDISI UKAS