PUSA: Perlawanan Futsal Tertutup anjuran Pusat Khidmat Batang Lupar, Pejabat Daerah Pusa, SEBERKAS dan Pemuda Kawasan Beting Maro berjaya mengumpulkan belia dan komuniti setempat bagi memupuk semangat kesukanan serta perpaduan.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, program ini bukan sahaja memupuk semangat kesukanan dalam kalangan peserta, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti.
“Kita yakin semangat ini akan membuahkan hasil positif, di samping mengukuhkan persaudaraan antara komuniti dalam kalangan belia.
“Teruskan aktiviti yang sihat kerana ia memberi manfaat besar, terutama kepada belia kita di Sarawak,” katanya dalam Majlis Penutupan perlawanan Futsal tertutup Anjuran Pusat Khidmat Batang Lupar di sini pada Ahad.
Mohamad Shafizan menegaskan bahawa kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak sentiasa menyokong penganjuran aktiviti sukan di peringkat komuniti sebagai langkah memartabatkan sukan negeri dan membina bakat atlet muda.
“Acara seperti ini bukan sekadar tentang kemenangan, tetapi juga membina jaringan, kerjasama dan semangat komuniti yang kukuh dalam kalangan belia,” katanya lagi.
Perlawanan tersebut melibatkan kategori lelaki dan wanita, dengan persaingan sengit dari pelbagai pasukan tempatan.
Suasana padang dipenuhi sorakan penonton dan tepukan gemuruh setiap kali jaringan dijaringkan, menambah kemeriahan program.
Bagi kategori lelaki, Bro Wap FT muncul sebagai juara, diikuti Sambax di tempat kedua, manakala EP7 dan Meow X Bagogo berkongsi tempat ketiga. - EDISI UKAS