Pasar Tiong Hua Bakal Dinaik Taraf Dengan Konsep Moden
SIBU: Pasar Tiong Hua yang terletak di bawah Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek dirancang untuk dibina semula dengan reka bentuk baharu yang lebih moden dan selari dengan konsep pusat penjaja masa kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata pembinaan semula pasar tersebut dijangka mempunyai kapasiti lebih besar serta menawarkan persekitaran yang lebih kondusif dan selesa kepada peniaga serta pengunjung.
Menurutnya, sekiranya keadaan mengizinkan, kawasan pasar itu juga berpotensi diperluaskan bagi menempatkan lebih ramai peniaga.
“Hasrat kita adalah untuk mewujudkan sebuah pasar yang lebih moden, bersih dan tersusun, dengan elemen reka bentuk yang seiring dengan pusat penjaja pada masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Agihan Paket Angpau dan Limau Mandarin sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pasar Sementara Tiong Hua, di sini pada Isnin.
Tambah beliau, kos pembangunan semula pasar berkenaan akan ditentukan oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS).
Mengulas kebimbangan peniaga berhubung lokasi pasar baharu pada masa hadapan, Chieng Jin Ek menjelaskan bahawa tapak asal mungkin tidak digunakan semula, memandangkan keputusan muktamad hanya dapat dibuat selepas pelan induk pembangunan semula Bukit Assek dimuktamadkan.
“Projek pembangunan semula ini dilaksanakan di bawah Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dan pasar ini merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan tersebut,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berharap pemasangan lampu tanglung di pasar sementara dapat memeriahkan lagi suasana perayaan serta menarik kehadiran orang ramai.
“Suasana perayaan ini penting agar orang ramai yang datang membeli-belah dapat merasai kemeriahan Tahun Baharu Cina, terutamanya mereka yang pulang dari luar negara atau luar Sarawak,” katanya.
Turut hadir ialah Pengerusi SUPP Cawangan Bukit Assek, Dato Chieng Buong Toon.-EDISI UKAS