PETANAK: Adat Kaul perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda supaya nilai budaya Melanau tidak terhakis oleh perubahan zaman, seiring keperluan masyarakat bergerak maju tanpa mengorbankan jati diri komuniti.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine menggesa masyarakat agar terus bergerak ke hadapan secara bersama, sambil mengekalkan budaya dan identiti yang menjadi asas kekuatan serta perpaduan komuniti Melanau.
Katanya, upacara Kaul Kampung Petanak 2026 yang diadakan di Tugek, Kuala Sungai Petanak terus menjadi simbol penting dalam usaha memelihara adat dan warisan masyarakat Melanau sebagai sebahagian daripada identiti budaya Sarawak.
Upacara bermula dengan perarakan serahang yang dipacak dari Paeh Batou seterusnya ke Bateang Pemalei sebelum berakhir di Kuala Sungai Petanak.
Ritual ini dilaksanakan sebagai tanda kesyukuran, doa keselamatan serta harapan agar kehidupan masyarakat pesisir sentiasa dilimpahi kesejahteraan.
Tradisi Keman Kaul turut diadakan menerusi jamuan secara potluck bersama penduduk kampung yang menyajikan pelbagai hidangan tradisional serta kuih-muih warisan Melanau.
Aktiviti ini bukan sahaja mengekalkan adat lama, malah mengeratkan hubungan serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan penduduk.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sukaneka di Pantai Kuala Petanak anjuran Jawatankuasa Kaul Petanak dengan kerjasama Unit SABERKAS YUSAPET yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk pelbagai peringkat usia.- EDISI UKAS