TYT Sarawak & Isteri Tinjau Aset Pertahanan Maritim Negara
PERAK: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, telah diberi penghormatan untuk melihat secara dekat aset pertahanan maritim negara sempena lawatan rasmi ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini, pada Isnin.
Lawatan tersebut merangkumi tinjauan ke beberapa fasiliti utama di sekitar Pangkalan TLDM Lumut, termasuk kawasan operasi di Jeti Operasi Advanced Mission Support Ship (AMSS) dan Kapal KD Indera Sakti yang dijadual belayar ke India keesokan harinya bagi menyertai Major 2026 Indian Navy Events (MILAN/IFR) di Visakhapatnam, India.
Dalam kesempatan itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah berkenan mendengar taklimat ringkas daripada Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain, berkaitan keupayaan operasi serta peranan aset TLDM dalam mempertahankan keselamatan perairan negara.
Turut serta ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak selaku Menteri Pengiring, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama isteri Datin Sri Zuraini Abdul Jaabar, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha dan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Baharudin Wan Md Nor.
Sebagai simbolik lawatan, TYT Sarawak serta isteri meluangkan masa merakamkan gambar kenangan bersama dif-dif kenamaan dan anak-anak kapal KD Indera Sakti, yang diketuai Kapten Ananthan Tharmalingam.
Terdahulu, lawatan rasmi tersebut dimulakan dengan upacara Kawalan Kehormatan Utama di Markas Armada Barat sebagai tanda penghormatan tertinggi kepada TYT Sarawak, sebelum berangkat ke Istana Hinggap Sultan Selangor (Jugra) bagi menyempurnakan acara menandatangani buku lawatan rasmi serta mendengar sesi taklimat operasi TLDM. -EDISI UKAS