SIBU: Projek pembinaan Jalan Teku–Pasai–Kemuyang yang menjadi antara pemacu utama pembangunan infrastruktur dan ekonomi setempat terus diberi perhatian Kerajaan Sarawak bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut perancangan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapa’ee turut meninjau perkembangan projek pembinaan jalan berkenaan pada Selasa bagi menilai kemajuan pelaksanaan di lapangan.
Projek pembinaan jalan raya yang dibiayai Kerajaan Sarawak itu melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM76 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada September 2027.
Apabila siap kelak, laluan tersebut akan memendekkan masa perjalanan antara kawasan Teku, Pasai dan Kemuyang, di samping menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan sekitar serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Dalam tinjauan tersebut, Datuk Dr Annuar menzahirkan kepuasan terhadap kemajuan projek setakat ini dan berharap agar pelaksanaan pembinaan dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan demi kepentingan rakyat.-EDISI UKAS