Sarawak Utamakan Keselamatan dan Kebersihan Sungai untuk Komuniti Tempatan
BINTANGOR: Kerajaan Sarawak terus memberi keutamaan kepada keselamatan dan kebersihan sungai bagi melindungi kepentingan komuniti yang bergantung kepada pengangkutan air khususnya pengusaha bot, penumpang dan penduduk setempat.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sungai memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai laluan pengangkutan, tetapi juga sebagai nadi yang menyokong aktiviti ekonomi dan kehidupan harian komuniti, terutama di kawasan persisir dan pedalaman.
“Melalui kempen ini, kita ingin meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan amalan keselamatan sungai, pematuhan kepada peraturan navigasi serta tanggungjawab bersama dalam memastikan sungai kita sentiasa bersih, selamat dan terpelihara.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi mencegah kemalangan, melindungi infrastruktur sungai dan memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Kempen Keselamatan dan Kebersihan Sungai serta Majlis Penyerahan Projek Replacement of Existing Pontoons and Other Associated Works at R.C. Pontoon Wharf, Main Bazaar, Bintangor di sini pada Selasa.
Katanya, projek menaik taraf Jeti R.C. Pontoon Main Bazaar bukan sahaja melengkapkan kempen keselamatan, malah memberi pengalaman lebih selamat, selesa dan mudah diakses kepada pengusaha bot, penumpang dan komuniti setempat.
Menurutnya, projek bernilai RM3,040,357 itu dilaksanakan oleh Sarawak Rivers Board (SRB) di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS), bermula pada 6 November 2024 dan siap sepenuhnya pada 19 Disember 2025.
Dato Sri Lee turut merakamkan penghargaan kepada Sarawak Rivers Board, pasukan projek dan kontraktor atas komitmen serta kerjasama dalam memastikan projek tersebut dilaksanakan dengan lancar dan mengikut jadual.
“Dengan siapnya projek ini dan pelaksanaan Kempen Keselamatan dan Kebersihan Sungai, kita menegaskan semula komitmen Sarawak terhadap sungai yang lebih selamat, bersih dan dilengkapi infrastruktur yang lebih baik.
“Ini juga memastikan sistem pengangkutan sungai terus berfungsi secara selamat, mampan dan memberi manfaat kepada rakyat untuk jangka panjang,” ujarnya.-EDISI UKAS