TYT Sarawak & Toh Puan Akhiri Lawatan Rasmi Ke Lumut
LUMUT: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, berangkat pulang menaiki helikopter khas selepas mengakhiri lawatan rasmi selama dua hari ke Markas Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada Selasa.
Turut mengiringi ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan selaku Menteri Pengiring, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama isteri, Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah dijadual berlepas ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah sebelum meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz menggunakan pesawat khas.
Sebelum berlepas, satu upacara Kawalan Kehormatan Utama telah diadakan sebagai penghormatan kepada TYT Sarawak.
Sepanjang lawatan tersebut, TYT Sarawak dan isteri telah menghadiri beberapa acara rasmi anjuran TLDM dengan kerjasama Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. (LUNAS), termasuk menyempurnakan Upacara Penamaan dan Pelancaran Kapal Tempur Pesisir 3, Sharif Mashor, yang merupakan antara detik penting dalam usaha memperkukuh keupayaan pertahanan maritim negara.-EDISI UKAS