Sarawak Perkukuh Pemuliharaan Biodiversiti Melalui Inisiatif Digital & Kawasan Hijau
KUCHING: Usaha pemuliharaan alam sekitar diperkukuhkan menerusi pelancaran aplikasi pengenalpastian spesies orkid serta penyerahan lima unit basikal elektrik (e-bike) kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) hasil kerjasama strategik bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, aplikasi tersebut merupakan satu pendekatan inklusif yang melibatkan orang awam dalam usaha pemeliharaan biodiversiti negeri.
“Pada masa ini, sebanyak 500 spesies orkid yang terdapat di Sarawak telah dimuatkan dalam aplikasi ini.
"Secara keseluruhan, Borneo mempunyai kira-kira 1,300 spesies orkid, dan aplikasi ini membolehkan orang ramai mengenal pasti sama ada orkid yang ditanam atau yang terdapat di habitat semula jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan SFC Digital & Green Initiatives “From Clicks to Cycles: Advancing SFC’s Digital & Green Agenda pada Selasa.
Sementara itu, beliau menambah, penglibatan orang awam amat penting bagi memastikan spesies-spesies orkid dapat dikenal pasti dan dipelihara agar tidak pupus untuk generasi akan datang.
Selain itu jelasnya, penyerahan lima unit e-bike kepada SFC turut dijangka meningkatkan kecekapan operasi SFC khususnya dalam kawasan Totally Protected Areas (TPA) di samping mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap agenda ekonomi hijau dan peralihan kepada pengangkutan rendah karbon.
“E-bike ini akan digunakan oleh SFC bagi menjalankan tugas pemantauan di taman negara dan kawasan hidupan liar. Ia sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan mesra alam,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Sarawak Orchid Society (SARORSO) yang dipelopori oleh Tengku Dr. Auvaroza, yang telah aktif selama sembilan tahun dalam usaha mengenal pasti serta menyelamatkan spesies orkid.
“Usaha mereka melibatkan pelajar-pelajar MRSM serta komuniti di Kota Samarahan, termasuk pembangunan tapak semaian negeri di kawasan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas cadangan peluasan aplikasi kepada spesies lain, Datuk Len Talif memaklumkan bahawa Jabatan Hutan Sarawak turut telah melancarkan aplikasi pengenalpastian spesies kayu berdasarkan anatomi kayu.
“Pendekatan ini selari dengan prinsip yang sama iaitu melibatkan masyarakat dalam pemuliharaan alam semula jadi. Usaha ini akan diperluaskan kepada spesies tumbuhan dan bunga lain pada masa hadapan,” tambah beliau.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Sungai Tapang yang sebelum ini dikenali sebagai Timber Research Centre telah diluluskan oleh Kabinet Sarawak untuk digazetkan sebagai Sungai Tapang Nature Reserve dengan keluasan 7.7 hektar.
Dalam masa yang sama ujarnya, Kabinet Sarawak turut meluluskan pewartaan Bukit Siol Nature Reserve serta Matang Nature Reserve sebagai sebahagian daripada pendekatan pembangunan mampan negeri bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan bandar dan pemeliharaan kawasan hijau.
“Pewartaan kawasan-kawasan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan dalam proses pembangunan bandar, kawasan hijau terus dipelihara dan dapat dimanfaatkan oleh rakyat,” katanya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau dan Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aiman. - EDISI UKAS
Wartawan: Ezzah Syafiqah
Jurugambar : Mohd Hisyam Arif,Ezzah Syafiqah