Piala Premier Sarawak 2025 Pemangkin Pembangunan Bakat Bola Sepak
KUCHING: Piala Premier Sarawak 2025 bukan sekadar menobatkan juara, sebaliknya dimanfaatkan sebagai platform strategik pembangunan bola sepak akar umbi negeri, khususnya dalam mencungkil bakat baharu dan membina laluan pemain tempatan ke peringkat lebih tinggi secara berstruktur dan berterusan.
Perlawanan akhir Piala Premier Sarawak 2025 yang dijadual berlangsung pada 15 Februari ini menjadi medan penting dalam usaha memperkasa pembangunan bola sepak akar umbi serta mencungkil bakat baharu di seluruh negeri.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, penganjuran Liga Premier Sarawak yang bermula sejak September tahun lalu merupakan edisi sulung yang dilihat sebagai langkah awal mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri secara tersusun.
Menurut beliau, pertandingan dibahagikan kepada dua zon bagi menjimatkan kos pasukan, selain memberi peluang kepada pemain tempatan dari setiap bahagian untuk diketengahkan melalui syarat penyertaan yang mewajibkan wakil pemain asal kawasan masing-masing.
“Kita mahu semua bahagian merasai peluang dan dalam jangka masa panjang melahirkan pemain sendiri kerana liga ini akan dilaksanakan setiap tahun,” katanya dalam sidang media pada Selasa.
Beliau menambah, liga tersebut diharap menjadi platform pembangunan bakat dan suatu hari nanti berperanan sebagai pentas pencarian pemain oleh pasukan dalam dan luar negara.
Juara Piala Premier Sarawak 2025 bakal membawa pulang RM50,000 berserta piala dan pingat, manakala naib juara menerima RM30,000 dan tempat ketiga bersama menerima RM10,000 setiap satu.
Beliau turut menggalakkan peminat bola sepak hadir ke stadium bagi menyaksikan aksi kemuncak perlawanan akhir selain berpeluang menyertai cabutan bertuah yang disediakan, di samping menjangkakan kehadiran Premier Sarawak bagi merasmikan majlis penyampaian hadiah.
Mengulas potensi pemain, beliau berkata beberapa bakat baharu telah mula menarik perhatian jurulatih pasukan profesional, sekali gus menunjukkan liga tersebut mampu menjadi medan pencarian pemain untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.-EDISI UKAS