250 Isi Rumah di Long Bedian Bakal Nikmati Sistem Elektrik Solar-Hidrogen
KUCHING: Seramai 250 isi rumah di Long Bedian, Baram bakal menikmati bekalan elektrik lebih stabil menerusi cadangan menaik taraf stesen jana kuasa berdiri sendiri di kawasan itu kepada sistem hibrid solar dan hidrogen.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, projek yang dibiayai kerajaan Persekutuan itu dicadang menjadi model skala besar bagi sistem tenaga hijau di kawasan pedalaman Sarawak.
Menurutnya, sistem berkenaan bukan sahaja membekalkan elektrik kepada isi rumah, malah melibatkan kedai kampung, sistem bekalan air serta pelbagai pejabat kerajaan di kawasan Long Bedian.
“Sistem ini merupakan pilihan terbaik memandangkan kebanyakan rumah panjang di pedalaman Ulu Baram sukar disambungkan dengan grid elektrik utama SESCO kerana kedudukannya yang berselerak dan jauh di pedalaman.
“Ketika ini, kebanyakan kawasan hanya menggunakan sistem bekalan elektrik luar bandar Sarawak Alternative Rural Electrification Scheme (SARES), namun penduduk memohon agar sistem itu dinaik taraf kepada sistem hibrid bagi mendapatkan bekalan tenaga lebih baik dan stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak semasa Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Tambah Dato Dennis, model sama telah dilaksanakan di Klinik Long Loyang, Ulu Tinjar sebagai projek perintis dan menunjukkan prestasi memberangsangkan sejak beroperasi lebih tiga tahun lalu.
Katanya, pelaksanaan sistem hibrid solar dan hidrogen itu selaras dengan agenda pembangunan tenaga hijau Sarawak serta usaha memperluas akses utiliti moden kepada komuniti luar bandar.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: George Embie