Kerajaan Sarawak Terus Perkukuh Infrastruktur & Konektiviti Sungai Asap
KUCHING: Komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan luar bandar terus mendapat perhatian apabila pelbagai cadangan dikemukakan bagi menambah baik infrastruktur asas serta konektiviti di kawasan Sungai Asap demi kesejahteraan rakyat pedalaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, isu bekalan air, elektrik dan telekomunikasi yang sering dihadapi penduduk di kawasan tersebut memerlukan penyelesaian menyeluruh agar rakyat dapat menikmati kemudahan asas yang lebih baik selari dengan arus pembangunan negeri.
“Bekalan air bersih, elektrik yang stabil serta capaian internet yang lebih baik bukan lagi kemudahan tambahan, tetapi keperluan asas rakyat pada hari ini.
“Rakyat di Sungai Asap terlalu lama berdepan apa yang sering disebut sebagai ‘tiga penyakit berangkai’ tiada air, tiada elektrik dan tiada telekomunikasi yang kerap berlaku saban hari.
“Isu-isu ini perlu dinoktahkan secara menyeluruh,” katanya ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak semasa Persidangan DUN Sarawak Ke-19 di sini, pada Rabu.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan penubuhan Smart Agriculture Transformation Centre (SATC) di BRS Sungai Asap bagi memperkukuh pembangunan smart farming berasaskan teknologi moden.
Menurut beliau, pusat tersebut berpotensi menjadi pemangkin kepada penggunaan teknologi pertanian pintar termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi, Internet of Things (IoT) serta dron pertanian di kawasan pedalaman.
Beliau turut menegaskan, keutamaan perlu diberikan kepada pembangunan infrastruktur dan konektiviti termasuk penyelesaian jalan pertanian ke lot-lot di BRS Sungai Asap yang disifatkannya sebagai nadi ekonomi hampir 2,000 keluarga di kawasan itu.
Tambah beliau, jalan akses utama ke Sungai Asap dari simpang Jalan Bakun/Bintulu juga perlu dinaik taraf ke R3 sepanjang 30 kilometer demi meningkatkan keselamatan serta mempercepatkan mobiliti rakyat dan logistik.
“Rakyat pedalaman tidak mahu terus menjadi penonton kepada pembangunan, mereka mahu menjadi sebahagian daripada kejayaan Sarawak,” ujarnya. -EDISI UKAS