Projek Air Matu-Daro Perlu Dipercepat, Tangani Krisis Tekanan Rendah Ketika Kemarau
KUCHING: Keperluan mendesak untuk mempercepatkan pelaksanaan Projek Sistem Bekalan Air Matu-Daro diusulkan berikutan gangguan bekalan dan masalah tekanan air rendah yang semakin kritikal terutama ketika musim kemarau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad menegaskan, projek berkenaan yang telah diluluskan sebelum ini perlu disegerakan pelaksanaannya bagi memastikan kelangsungan bekalan air bersih kepada penduduk di kawasan Daro dan sekitarnya.
Menurut beliau, situasi semasa menunjukkan kebergantungan bekalan air di Daro kepada sistem sedia ada, termasuk Loji Rawatan Air Jemoreng dan sistem tambahan di Kampung Pangtray, yang masih belum mampu menampung permintaan sepenuhnya ketika berlaku cuaca kering berpanjangan.
“Semasa kemarau baru-baru ini, sumber air di loji terjejas teruk apabila paras sungai menurun, sekali gus menjejaskan operasi sistem bekalan air sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak semasa Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Tambah beliau, keadaan tersebut membuktikan keperluan segera kepada penyelesaian jangka panjang melalui pelaksanaan Projek Sistem Bekalan Air Matu-Daro yang lebih stabil dan berdaya tahan.
Ujarnya, isu bekalan air bukan sahaja memberi kesan kepada kehidupan harian penduduk, malah turut menjejaskan aktiviti ekonomi setempat termasuk sektor pertanian dan perkhidmatan asas luar bandar.
Sehubungan itu, beliau merayu agar Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak memberi keutamaan tinggi terhadap pelaksanaan projek berkenaan demi memastikan penduduk luar bandar tidak terus berdepan gangguan bekalan asas yang kritikal.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Eisner Nala
Foto: George S. Embie