Townhall KMKK & JKKK Perkukuh Tadbir Urus Kampung di Marudi
MARUDI: Program Townhall Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Marudi berjaya menghimpunkan 255 peserta dalam usaha memperkukuh pengurusan dan tadbir urus kepimpinan akar umbi secara lebih sistematik, telus dan berintegriti.
Program yang berlangsung di Pekan Marudi pada Selasa itu merupakan penganjuran kali kedua, melibatkan penyertaan ketua masyarakat, tuai rumah, kapitan, setiausaha serta bendahari dari seluruh kampung di daerah berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala merakamkan penghargaan atas komitmen KMKK dan JKKK yang hadir, disifatkan sebagai bukti keprihatinan terhadap amanah yang dipikul.
Menurut beliau, pendekatan Townhall merupakan kaedah terbaik dalam mewujudkan komunikasi dua hala antara pemimpin masyarakat dan kerajaan, selain menjadi platform untuk bertukar pandangan, berkongsi cabaran serta mencari penyelesaian bersama.
“Pelantikan sebagai Ketua Kaum dan KMKK adalah manifestasi kepercayaan masyarakat. Justeru, kepimpinan yang berintegriti, telus dalam pengurusan kewangan serta amanah dalam melaksanakan tanggungjawab perlu dijadikan prinsip utama,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa KMKK berperanan sebagai jambatan penghubung antara rakyat dan kerajaan termasuk memantau pelaksanaan projek di bawah peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan masing-masing.
Selain itu, beliau menggesa pemimpin masyarakat agar lebih peka terhadap perkembangan semasa serta menggunakan media sosial secara berhemah sebagai medium penyampaian maklumat kepada penduduk.
Pada masa sama, beliau mengingatkan JKKK supaya sentiasa telus dalam pengurusan peruntukan terutamanya MRP bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, selain memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut permohonan dan dilaporkan kepada Pusat Khidmat.
Turut hadir Residen Bahagian Miri, Galong Luang, Pegawai Daerah Marudi, Rose Edward Tarang, Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Mulu, Rabetta Janggi, Pemanca Randie Bundan selaku penasihat Persatuan Penduduk Puyut Lubok Nibong, ketua-ketua jabatan serta ketua masyarakat dan ketua kaum daerah Marudi.–EDISI UKAS