Pendidikan Diutamakan Demi Masa Depan Generasi Muda Sarikei
SARIKEI: Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii memberi jaminan akan terus meletakkan pendidikan sebagai keutamaan bagi memastikan generasi muda menikmati masa depan yang lebih terjamin.
Beliau berkata, komitmen berterusan terhadap bidang pendidikan merupakan sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dalam memperjuangkan kebajikan dan pembangunan modal insan di kawasan Parlimen Sarikei.
Menurutnya, pelbagai inisiatif berkaitan pendidikan telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa terbela tanpa mengira latar belakang kaum mahupun status sosioekonomi keluarga.
“Pendidikan adalah asas penting dalam membentuk masa depan anak-anak serta menjadi tunjang kepada kesejahteraan jangka panjang masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 berlangsung di sini, pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pemberian sumbangan kelengkapan persekolahan seperti pakaian, kasut dan beg sekolah kepada pelajar setiap tahun.
Katanya, usaha itu akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa bagi meringankan beban ibu bapa, khususnya golongan berpendapatan rendah, selain menggalakkan pelajar kekal fokus terhadap pembelajaran.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di Sarikei dan Meradong yang mencerminkan kemajuan berterusan hasil kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurutnya, kejayaan pelaksanaan projek pembinaan jalan raya dan jambatan yang menghubungkan Sarikei dengan Tanjung Manis membuktikan kepercayaan berterusan masyarakat terhadap kerajaan negeri.
“Kemudahan infrastruktur ini bukan sahaja meningkatkan tahap kesalinghubungan, malah memperkukuh pertumbuhan sosioekonomi serta membuka lebih banyak peluang pembangunan di kawasan ini,” katanya.-EDISI UKAS