Kerjasama Sukan Sarawak–Indonesia Diperkukuh Menerusi Borneo Cycling Odyssey 2026
KUCHING: Kerjasama sukan berbasikal antara Sarawak dan Indonesia terus diperkukuh menerusi penganjuran Borneo Cycling Odyssey 2026, yang bukan sahaja menjadi platform sukan tetapi juga medium mempererat hubungan persaudaraan serantau di Kepulauan Borneo.
Majlis makan malam sempena program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Belia dan Sukan), Datuk Gerald Rentap Jabu, dan dihadiri oleh Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dzulkornaian Masron, serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Khairul Nizam Morshidi.
Dalam ucapannya, Datuk Gerald berkata penganjuran program berbasikal tersebut mencerminkan semangat perpaduan serta hubungan silaturahim yang erat antara Sarawak dan negara jiran.
“Kita di Kepulauan Borneo ini adalah satu rumpun. Program seperti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah mengukuhkan hubungan persaudaraan dan kerjasama rentas sempadan antara rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Royal Kuching Cruise, Waterfront Kuching, malam Selasa.
Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran acara sukan berbasikal antarabangsa seumpama itu mampu memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
“Kehadiran rakan-rakan dari luar negara ke Sarawak bukan sahaja mempromosikan keindahan negeri ini, malah memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat. Inilah peranan sukan sebagai pemangkin perpaduan dan pembangunan,” ujarnya.
Sementara itu, Basuki Raharjo merakamkan penghargaan atas sambutan mesra yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak kepada para peserta dari Indonesia.
“Kami benar-benar merasai semangat persaudaraan itu. Keletihan ketika berbasikal seolah-olah hilang apabila disambut dengan penuh mesra oleh saudara-saudara di Sarawak,” katanya.
Menurut beliau, seramai 20 orang pesepeda dari Indonesia menyertai program ini, terdiri daripada beberapa komuniti berbasikal termasuk dari Kalimantan Barat dan Jawa, malah sebahagian daripada mereka telah menamatkan kayuhan sejauh 1,600 kilometer mengelilingi Kalimantan.
Dalam pada itu, beliau menyatakan hasrat Federasi Sepeda Indonesia untuk memperluaskan kerjasama dengan Sarawak pada masa akan datang, termasuk penglibatan bersama dalam kejohanan berbasikal di Kalimantan Barat dan Sarawak.
“Pada masa hadapan, kami berharap kerjasama ini dapat diperkukuhkan lagi. Pesepeda dari Sarawak dialu-alukan untuk menyertai kejohanan di Kalimantan Barat, manakala pesepeda kami akan terus menyertai program berbasikal di Sarawak,” katanya.
Turut hadir ialah Pegawai Turus Pentadbiran Jabatan Pengurusan IPK Sarawak, ACP James Jonathan, Ketua Federasi Sepeda Indonesia (FSI) Kota Pontianak, Basuki Raharjo, Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak, Irawan Sudarsono, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supt. Merbin Lisa, serta Konsul Hal Ehwal Sosial Budaya Pejabat Konsulat Jenderal Indonesia, Yasfitha Febriany Murthias, selain wakil-wakil jabatan dan rombongan delegasi.-EDISI UKAS