SELANGAU: Kerajaan Sarawak terus memperluas pembangunan prasarana sukan ke kawasan luar bandar dengan projek Kompleks Mini Sukan Selangau bernilai RM11.5 juta kini memasuki fasa pelaksanaan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata projek yang dirancang sebelum pandemik COVID-19 itu akhirnya dapat dilaksanakan selepas beberapa kekangan, termasuk isu penyediaan tapak, berjaya diselesaikan.
“Walaupun berlaku kelewatan susulan pandemik sejak 2020, kerajaan negeri tetap komited memastikan kemudahan sukan berkualiti turut dibangunkan di kawasan luar bandar dan tidak tertumpu di bandar-bandar besar sahaja.
“Kita mahu kemudahan seperti ini dinikmati masyarakat luar bandar supaya bakat baharu dapat dicungkil dari peringkat akar umbi,” katanya semasa majlis berkenaan pada Rabu.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan menjelaskan, setakat ini hampir 18 kompleks mini sukan sama ada dalam perancangan, pembinaan atau telah siap dibina di seluruh Sarawak sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan belia dan sukan negeri.
Tegasnya, pembinaan kompleks berkenaan bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal, malah menjadi platform melahirkan atlet dari kawasan pedalaman untuk mewakili daerah, bahagian, negeri dan negara.
Menurutnya lagi, kemudahan ini akan membantu menyediakan ruang latihan kepada belia serta sekolah setempat, sekali gus memperluas peluang pencarian bakat bagi kejohanan seperti Sukan Malaysia (SUKMA).
Projek Kompleks Mini Sukan Selangau dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan nilai kontrak RM11.5 juta dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 24 bulan bermula 19 November 2025 hingga 18 November 2027.
Kemudahan yang akan dibina termasuk padang bola sepak lengkap dengan sistem saliran bawah tanah, trek olahraga 400 meter dengan sembilan lorong mengikut piawaian antarabangsa serta tempat duduk utama yang mampu menampung 300 penonton.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir Christopher Gira Sambang, Ahli Dewan Negara, Rita Sarimah Patrick Insol, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dzulkornain Masron, Pegawai Daerah Selangau, Yalin Asan, Pegawai Tadbir Pejabat Residen Sibu mewakili Residen Bahagian Sibu, MacGyver Boi serta Timbalan Pengarah Infrastruktur, Jabatan Kerja Raya Sarawak, Ir Wisil Lichok.-EDISI UKAS