Penduduk Rumah Sebastian Bakal Nikmati Kemudahan Selesa Menjelang Gawai
SIBU: Pelaksanaan beberapa Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rumah Sebastian, Batu 5, Jalan Oya menunjukkan perkembangan positif dan berjalan lancar mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, beliau berpuas hati dengan kemajuan fizikal projek tersebut yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.
Antara projek yang telah siap sepenuhnya termasuklah kerja-kerja membaiki serta membesarkan ruai rumah panjang yang melibatkan peruntukan sebanyak RM350,000, selain projek baik pulih rumah individu di sekitar kawasan berkenaan yang berjumlah RM240,000.
Kemudahan penduduk di situ turut diperkasakan lagi dengan pembinaan tandas awam baharu yang kini sudah sedia untuk digunakan.
Datuk Dr Annuar menegaskan bahawa beliau mahu melihat semua baki kerja diselesaikan mengikut garis masa yang ditetapkan, khususnya sebelum sambutan Hari Gawai.
Jelas beliau, penyelesaian segera itu penting bagi memastikan masyarakat di Rumah Sebastian dapat menikmati kemudahan yang lebih selesa dan sempurna semasa musim perayaan nanti.
Terdahulu, beliau melakukan tinjauan tapak diiringi Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayed Azmi Sayed Junaidi serta Ahli Majlis Perbandaran Sibu, Kaunselor Raden Khairul.
Turut hadir bersama ialah Tuai Rumah Sebastian serta barisan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setempat.
Program RTP terus menjadi antara inisiatif utama kerajaan Sarawak dalam memperkasa infrastruktur asas dan memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara berterusan demi kesejahteraan rakyat.- EDISI UKAS