KUCHING: Program Safari Ramadhan (PSR) HIKMAH 2026, yang menumpukan aktiviti dakwah dan kebajikan di pelbagai kawasan di seluruh Sarawak, telah dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis pada Rabu.
Yang Dipertua HIKMAH Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, berkata program ini dilaksanakan di pelbagai zon termasuk Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas.
“Antara aktiviti utama ialah ceramah penghayatan Ramadhan, ziarah komuniti, majlis berbuka puasa bersama masyarakat setempat, khususnya golongan asnaf dan mualaf di kawasan pedalaman,” katanya.
Majlis pelancaran turut menyaksikan simbolik penyerahan kepada wakil Zon Bau dan Zon Padawan sebagai permulaan pelaksanaan program di peringkat zon dengan penyerahan sumbangan daripada para penyumbang bagi menyokong aktiviti kebajikan sepanjang bulan Ramadhan.
Program Safari Ramadhan HIKMAH 2026 menyasarkan pelaksanaan di puluhan lokasi dengan anggaran penerima manfaat seramai 3,000 keluarga asnaf dan mualaf dari Kuching hingga Lawas.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen HIKMAH dalam memperkukuh syiar Islam, menyemai nilai kebersamaan serta menyantuni masyarakat Islam di bandar, luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Majlis pelancaran ini menjadi simbol kesepaduan kepimpinan, agensi sokongan dan masyarakat dalam menjayakan agenda dakwah dan kebajikan sepanjang bulan Ramadhan al-Mubarak.
Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua HIKMAH Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie dan Naib Yang Dipertua HIKMAH Toh Puan Hayati Ahmat. -EDISI UKAS