Pelabuhan Bintulu Sasar Pelabuhan Digital Sepenuhnya Menjelang 2030
KUCHING: Bintulu Port Holdings Berhad komited memperkukuh transformasi digital dalam operasinya dengan sasaran menjadi pelabuhan digital sepenuhnya menjelang tahun 2030.
Presidennya, Dato Ruslan Abdul Ghani berkata, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, pelbagai inisiatif strategik telah dilaksanakan bagi memodenkan sistem operasi pelabuhan selaras dengan perkembangan teknologi global.
Menurut beliau, langkah awal dimulakan dengan pelaksanaan sistem ‘smart gate’ yang dilengkapi teknologi pengecaman nombor pendaftaran kenderaan, sekali gus meningkatkan kecekapan aliran trafik keluar masuk kenderaan di pelabuhan.
“Pada masa ini, kami sedang memasang sistem pengoperasian pelabuhan yang digunakan di Shanghai, termasuk di Yangshan Phase 4 di mana sistem ini membolehkan integrasi operasi secara menyeluruh dan menyediakan kaedah kerja yang lebih maju serta efisien kepada pelanggan dan juga pihak pengurusan,” katanya ketika ditemui selepas Malam Penghargaan Media Pelabuhan Bintulu 2026 di sini pada Rabu.
Tambah beliau, Pelabuhan Bintulu turut memperkenalkan sistem marin bagi pengurusan kapal yang lebih sistematik selain mempertingkat pemantauan keselamatan menerusi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan penggunaan teknologi dron.
“Kami telah melaksanakan penggunaan dron termasuk konsep ‘nested drone’, dan Bintulu Port merupakan yang pertama di Malaysia mengadaptasi teknologi tersebut,” jelasnya.
Mengulas perkembangan terkini, beliau memaklumkan bahawa sistem pengoperasian pelabuhan telah dilaksanakan di Samalaju Industrial Port sejak September tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya di Pelabuhan Bintulu menjelang April tahun ini.
Selain itu, pihaknya kini dalam proses membangunkan teknologi ‘digital twin’ bagi operasi pelabuhan.
Sekiranya berjaya direalisasikan dalam masa terdekat, Pelabuhan Bintulu berpotensi menjadi antara pelabuhan terawal di Malaysia yang mengaplikasikan teknologi berkenaan.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Bintulu Holdings Berhad menjelaskan bahawa Bintulu Port setakat ini tidak terjejas secara langsung oleh ketidaktentuan ekonomi global termasuk isu tarif Amerika Syarikat (AS), memandangkan perdagangan pelabuhan itu tidak banyak bergantung kepada pasaran AS.
Sebaliknya, perdagangan utama melibatkan China, Jepun serta beberapa negara Eropah dengan produk yang dikendalikan khususnya di Samalaju Industrial Port kebanyakannya dieksport ke pasaran Asia Timur seperti China dan Jepun.
“Sekiranya negara-negara tersebut terkesan oleh tarif AS, secara tidak langsung kami mungkin turut menerima impak. Namun setakat setahun kebelakangan ini, kami tidak melihat kesan yang signifikan terhadap operasi pelabuhan,” katanya lagi. -EDISI UKAS