Projek Baik Pulih Rumah MRP-PPRMS, Perkasa Kualiti Hidup Penduduk
DARO: Komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat luar bandar terus terbela dizahirkan menerusi pelaksanaan projek baik pulih rumah di bawah skim MRP-PPRMS Fasa 4/2025 di kawasan Daro.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad telah mengadakan lawatan kerja ke Kampung Baru dan Kampung Cina pada Isnin bagi meninjau sendiri perkembangan serta status penyiapan projek yang sedang dilaksanakan.
Lawatan yang diselaraskan oleh Pusat Khidmat DUN Daro itu melibatkan kediaman Sim Mee Fung di Kampung Cina serta Sarimah Salim di Kampung Baru yang menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Skim MRP-PPRMS merupakan antara usaha berterusan kerajaan Sarawak dalam membantu golongan berpendapatan rendah membaik pulih kediaman mereka agar lebih selamat dan selesa, sekali gus meningkatkan taraf serta kualiti hidup masyarakat setempat.
Dalam lawatan tersebut, Dr Safiee turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada kedua-dua penerima sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap golongan memerlukan di kawasan Daro.
Beliau menegaskan bahawa bantuan dan program pembangunan akan terus diperkasa agar setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan sasar.
“Kerajaan komited memastikan segala perancangan dan bantuan sampai kepada rakyat yang memerlukan serta memberi impak nyata kepada kehidupan mereka,” ujarnya. -EDISI UKAS