Tradisi Agihan Kad Ucapan Tahun Baharu Cina Erat Hubungan Pemimpin, Rakyat di Sarikei
SARIKEI: Tradisi pengagihan kad ucapan sempena Tahun Baharu Cina di Parlimen Sarikei terus menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat di kawasan tersebut.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, amalan berkenaan telah dilaksanakan secara konsisten sejak beliau bergelar wakil rakyat sebagai tanda ingatan dan penghargaan kepada masyarakat setempat.
Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sekadar rutin tahunan, malah mencerminkan komitmen berterusan dalam memelihara keharmonian serta memperkukuh jalinan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat.
“Ini juga sebahagian usaha saya untuk menyantuni dan mengeratkan hubungan dengan rakyat di samping memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Huang turut menegaskan, perayaan seperti Tahun Baharu Cina bukan sahaja disambut oleh masyarakat Tionghua, malah menjadi platform untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
Sehubungan itu, beliau berharap semangat muhibah dan saling menghormati yang terjalin selama ini dapat terus diperkukuhkan demi kesejahteraan bersama.
Agihan kad ucapan itu dilaksanakan oleh wakil Dato’ Sri Huang pada Rabu yang turut mengambil kesempatan menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Tionghua di Sarikei. -EDISI UKAS