SELANGAU: Pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bukan sekadar pengisian jawatan, sebaliknya merupakan amanah besar dan manifestasi kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Ir. Christopher Gira Sambang berkata, kekuatan sesebuah negeri tidak hanya bermula dari pembangunan di bandar-bandar utama, sebaliknya berpaksikan kestabilan dan kemajuan kampung serta kawasan luar bandar.
“Masyarakat luar bandar tidak meminta segala-galanya. Mereka hanya mahu memastikan mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan. Pembangunan yang sebenar ialah pembangunan yang dapat dirasai oleh semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan KMKK Daerah Selangau bagi sesi 2026–2027, di sini, pada Rabu.
Sebagai wakil rakyat kawasan luar bandar, beliau memahami aspirasi masyarakat pedalaman yang mendambakan kemudahan asas, peluang ekonomi dan kepimpinan yang mampu membela nasib mereka.
Mengulas peranan KMKK, beliau menegaskan bahawa golongan tersebut merupakan tonggak kestabilan masyarakat dan menjadi penghubung utama antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.
“KMKK ibarat akar kepada sepohon pokok. Jika akarnya kukuh, maka pokok itu tidak mudah tumbang. Begitulah pentingnya peranan KMKK dalam memastikan perpaduan dan keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri melalui Bajet 2026 telah bersetuju menaikkan elaun KMKK kepada RM400 sebulan sebagai pengiktirafan terhadap tanggungjawab yang semakin mencabar.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pelantikan tersebut merupakan permulaan kepada amanah yang lebih besar dan setiap kursus atau program yang melibatkan KMKK hendaklah mendapatkan kelulusan Pejabat Daerah serta Pejabat Residen bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan dasar dan perancangan pembangunan negeri.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu beberapa rumah panjang yang masih belum mempunyai pelantikan rasmi Tuai Rumah walaupun telah memenuhi syarat.
“Kampung tanpa Tuai Rumah ibarat negara tanpa wakil. Setiap kampung berhak memiliki pemimpin yang mampu membimbing, menyatukan dan menggerakkan pembangunan,” katanya sambil berharap kuota Tuai Rumah dapat dipertimbangkan untuk ditambah pada tahun hadapan.
Menyentuh perkembangan semasa Sarawak, beliau berkata negeri ini kini berada pada landasan pembangunan yang kukuh dengan infrastruktur yang semakin baik serta kedudukan yang lebih kuat dalam memperjuangkan hak-hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau turut menyeru rakyat agar terus mengekalkan perpaduan dan kestabilan politik serta memberi sokongan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg demi kesinambungan agenda pembangunan.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Ahli Dewan Negara Senator Rita Sarimah Patrick Insol, serta Pegawai Daerah Selangau Yalin Asan.-EDISI UKAS