Sambutan TBC 2026 Peringkat Daerah Subis Berlangsung Meriah di Arena Sibuti
BEKENU: Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Daerah Subis yang julung kali diadakan berlangsung meriah di Arena Sibuti, Bekenu pada Rabu malam dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat setempat.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Dalam suasana penuh muhibah dan perpaduan, program anjuran Jawatankuasa Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Daerah Subis itu bertujuan meraikan perayaan tersebut di samping memperkukuh hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di daerah ini.
Penganjuran majlis berkenaan turut menjadi platform menghargai sumbangan komuniti Cina terhadap pembangunan setempat serta memelihara warisan budaya masyarakat berkenaan.
Dalam masa sama, ia juga berperanan sebagai medium penting dalam mengeratkan hubungan antara komuniti dan pihak kerajaan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr. Ripin Lamat, Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis, Temenggong Yong Vui Seng serta Penghulu Chu Chon Nee @ Choo Chang Yee selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan.-EDISI UKAS