Breakoff Saribas Bakal Himpun Pelbagai Aktiviti Belia dan Komuniti di Debak
DEBAK: Penduduk sekitar Saribas dan kawasan berhampiran dijemput hadir memeriahkan Program Breakoff Saribas: One Stop Committee yang akan berlangsung di Dewan Perpaduan Debak pada 14 hingga 15 Februari 2026.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Datuk Mohammad Razi Sitam, berkata program tersebut bertujuan mengeratkan hubungan komuniti di samping menyediakan ruang aktiviti sihat dan bermanfaat kepada masyarakat setempat.
“Program ini bukan sahaja menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk golongan belia dan masyarakat, malah menjadi ruang terbaik untuk kita mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti,” katanya.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi itu akan menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk Pocket Talk oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pertandingan PUBG dan e-sukan, futsal, sukan tradisional, perhimpunan motosikal (bike gathering) serta pertandingan dart.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan bertuah harian dan Cabutan Bertuah Mega yang menawarkan pelbagai hadiah menarik. - EDISI UKAS