ADUN Bukit Assek Hargai Peranan Media, Tegaskan Komitmen Terhadap Pembangunan Kawasan
SIBU: Peranan pengamal media sebagai rakan strategik dalam memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan kefahaman masyarakat terhadap dasar serta pembangunan kawasan terus mendapat penghargaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek.
Menurutnya, warga media di Sibu sentiasa melaksanakan tugas secara profesional, berdedikasi dan konsisten dalam menyampaikan maklumat yang tepat serta berimbang kepada masyarakat.
“Media memperkukuh ketelusan, akauntabiliti serta wacana awam yang berinformasi dalam masyarakat,” katanya ketika berucap semasa majlis Majlis Makan Malam Bersama Media Sibu sempena Tahun Baharu Cina 2026 pada Rabu.
Majlis anjuran Pusat Khidmat DUN Bukit Assek itu dihadiri kira-kira 100 tetamu, termasuk Pengerusi SUPP Cawangan Bukit Assek, Dato Chieng Buong Toon serta Pengerusi Persatuan Wartawan Sibu (SJA), Florence Nervyn.
Mengulas perkembangan kawasan, Chieng berkata Bukit Assek mencatat kemajuan stabil sepanjang tahun lalu merangkumi pembangunan komuniti, penambahbaikan infrastruktur, pendidikan, penglibatan belia, kemudahan sukan serta pelaksanaan inisiatif kebajikan sosial.
Menyentuh mengenai Projek Pembangunan Semula Bukit Assek, beliau berkata inisiatif tersebut dirangka bagi menambah baik persekitaran dan kemudahan awam, merangsang pertumbuhan komersial dan ekonomi serta meningkatkan potensi pembangunan kawasan berkenaan secara menyeluruh.
“Pembangunan semula ini merupakan usaha jangka panjang berteraskan rakyat yang memerlukan perancangan rapi, penyelarasan serta tempoh pelaksanaan yang sesuai.
“Pemahaman dan kepercayaan awam amat penting bagi projek seperti ini, dan peranan media dalam memastikan laporan yang seimbang serta berfakta amat signifikan, termasuk menyalurkan maklum balas tulen daripada masyarakat,” ujarnya.
Selain itu, beliau memaklumkan beberapa projek utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan dilaksanakan secara berperingkat tahun ini di kawasan Bukit Assek.
Antaranya pembinaan jalan penghubung dari Bulatan Aman ke Jalan Tunku Abdul Rahman, Projek Tebatan Banjir Sibu Fasa 4 serta pelbagai projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Tambah beliau, pihaknya akan terus menyalurkan maklumat terkini kepada media mengenai perkembangan projek-projek berkenaan agar orang ramai sentiasa dimaklumkan tentang pelaksanaannya secara telus dan berfasa.
Beliau turut memberi jaminan bahawa semua projek pembangunan, termasuk pembangunan semula, akan dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berperingkat dengan penglibatan serta ketelusan yang sewajarnya.-EDISI UKAS