Pusat Khidmat DUN, Parlimen Perlu Seiring Jayakan Inisiatif Kerajaan Sarawak
MUKAH: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen perlu bergerak seiring dalam memastikan pelaksanaan serta penyampaian 139 inisiatif Kerajaan Sarawak dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan bagi menjaga kebajikan serta meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh negeri.
Menurut beliau, pusat khidmat berperanan sebagai saluran utama penyampaian maklumat berkaitan dasar, polisi dan bantuan kerajaan agar difahami secara tepat dan menyeluruh oleh masyarakat.
“Pusat khidmat DUN dan Parlimen perlu bergerak seiring dalam menjayakan inisiatif membangunkan Sarawak demi kesejahteraan rakyat agar segala dasar dan bantuan yang disediakan sampai kepada orang ramai.
“Saya yakin pusat khidmat di seluruh Sarawak sentiasa berusaha membantu rakyat yang memerlukan dan tidak pernah menolak permohonan, kecuali dalam kes tertentu yang melibatkan permohonan berulang tanpa memenuhi syarat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Demi Rakyat: Taklimat Bantuan dan Inisiatif MEITD, Yayasan Sarawak dan KPWK bersama Pusat Khidmat DUN dan Parlimen Zon Tengah di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Rabu.
Program berkenaan turut dihadiri ADUN Ngemah, Anyi Jana serta Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Mengulas lanjut, Royston berkata penganjuran sesi taklimat dan program libat urus seperti itu merupakan platform penting dalam memastikan maklumat yang disampaikan adalah tepat, selain memberi ruang kepada pegawai pusat khidmat untuk mendapatkan maklum balas sebelum sesuatu perkara dibawa ke peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, Awang Putrayusrie menegaskan bahawa peranan pegawai dan kakitangan Pusat Khidmat DUN dan Parlimen amat signifikan kerana mereka merupakan barisan hadapan yang sentiasa berinteraksi secara langsung dengan rakyat.
Katanya, selain Pejabat Residen dan Pejabat Daerah, pusat khidmat turut menjadi rujukan utama masyarakat untuk mendapatkan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan.
“Disebabkan itu, pegawai dan kakitangan pusat khidmat perlu mengetahui setiap inisiatif yang dibawa oleh Kerajaan Sarawak agar maklumat yang disampaikan adalah jelas dan tepat,” ujarnya.
Dalam program sama, para peserta turut mendengar taklimat terperinci daripada wakil Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Yayasan Sarawak dan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) berhubung pelbagai bantuan serta inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.-EDISI UKAS