RM1.87 Juta Peruntukan RTP 2026 Tingkat Kemudahan Infrastruktur Luar Bandar Di Simunjan
SIMUNJAN: Sebanyak 18 projek dengan nilai keseluruhan RM1.87 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Tahun 2026 yang melibatkan beberapa kampung di daerah ini sebagai usaha berterusan memperkukuh pembangunan luar bandar.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 16 projek RTP di bawah peruntukan ADUN Simunjan bagi tahun 2026 akan dilaksanakan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.52 juta.
Sementara itu, dua lagi projek RTP di bawah Ahli Parlimen Batang Sadong turut diluluskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM350,000 bagi menyokong keperluan pembangunan setempat.
Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad berkata, daripada keseluruhan projek yang dirancang, sebanyak 14 projek akan dilaksanakan oleh Majlis Daerah Simunjan (MDS), manakala empat projek lagi akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Samarahan dengan kerjasama rapat agensi teknikal dan pentadbiran berkaitan.
Beliau berkata demikian ketika menyertai lawatan tapak ke beberapa lokasi cadangan projek RTP Tahun 2026 di daerah ini pada Rabu.
Menurut beliau, lawatan berkenaan bertujuan meneliti cadangan projek secara lebih terperinci, membuat persediaan awal bagi penyediaan Bill of Quantities (BQ), mengenal pasti lokasi tapak yang bersesuaian serta menyelaras skop pelaksanaan antara agensi terlibat supaya proses pelaksanaan berjalan lancar dan teratur.
Tambah beliau, pendekatan turun padang bersama agensi pelaksana dan teknikal amat penting bagi memastikan setiap projek yang dirancang benar-benar memenuhi keperluan sebenar penduduk serta dapat dilaksanakan mengikut spesifikasi dan garis masa yang ditetapkan.
Lawatan tersebut melibatkan Pejabat Residen Bahagian Samarahan, Pejabat Daerah Simunjan, Majlis Daerah Simunjan (MDS), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Samarahan, Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batang Sadong serta Pusat Khidmat DUN Simunjan.
Pelaksanaan projek RTP ini dijangka dapat meningkatkan kemudahan asas dan infrastruktur luar bandar, seterusnya menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan serta kualiti hidup masyarakat setempat di kawasan terlibat.
Turut hadir ialah Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Samarahan, Faemarshiela Christine Juel, Penolong Jurutera Pejabat Residen Bahagian Samarahan Brenda Mau David, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Simunjan Samantha Claire Daniel, Penolong Jurutera, Majlis Daerah Simunjan, Muhammad Amirul Zaki Hamzah, Penolong Jurutera, Jabatan Pengairan Dan Saliran (DID) Bahagian Samarahan, Nyuak Iba; Penolong Pegawai Perancang, Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Bahagian Samarahan, Walter Hugo Nicholas, Pegawai Khas kepada ADUN Simunjan Rafendy Ariffen, wakil Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batang Sadong serta ketua-ketua kaum dari kampung yang terlibat dalam pelaksanaan projek berkenaan.-EDISI UKAS