Sarawak Tuan Rumah Persidangan Penyelidikan Antarabangsa Ke-9 WSDN 2026
KUCHING: Sarawak diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah Persidangan Penyelidikan Antarabangsa Ke-9 Persatuan Kejururawatan Bencana Sedunia (WSDN) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 19 September ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, penganjuran persidangan bertaraf antarabangsa itu yang julung kali diadakan di Sarawak merupakan satu pengiktirafan penting kepada negeri ini, selain menjadi platform strategik bagi pertukaran teknologi kecemasan, penyelesaian inovatif serta pendekatan praktikal dalam memperkukuh kesiapsiagaan, tindak balas dan usaha pemulihan bencana.
Menurut beliau, penganjuran tersebut amat signifikan memandangkan kekerapan bencana alam kini menunjukkan peningkatan, sebahagiannya didorong oleh perubahan iklim global.
“Persidangan ini yang julung kali diadakan di Sarawak amat signifikan untuk negeri ini menjadi tuan rumah, memandangkan kita semua sedia maklum bahawa bencana alam sama ada kita bersedia atau tidak, semakin meningkat dari segi kekerapan, dan sebahagiannya didorong oleh perubahan iklim.
“Sepertimana pada tahun lalu, kita menyaksikan kejadian banjir terburuk di Bintulu, selain pelbagai insiden lain yang tidak pernah kita jangkakan sebelum ini,” ujarnya dalam sidang media Persidangan Penyelidikan Antarabangsa Ke-9 WSDN di BCCK, pada Khamis.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, persidangan itu dijangka menghimpunkan kira-kira 500 delegasi dari seluruh dunia, sekali gus membuka ruang kepada Sarawak untuk bertukar kepakaran, memperluas jaringan kolaborasi serta meningkatkan keupayaan institusi tempatan dalam pengurusan bencana.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa penglibatan negara seperti Jepun yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan bencana alam akan memperkaya wacana persidangan serta menyumbang input bernilai tinggi kepada peserta.
Hadir sama, Pengerusi WSDN Profesor Dr Sonoe Mashino, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak Jason Tan Chin Foo, Pengerusi Persidangan WSDN 2026 Dr Nurul’Ain Ahayalimudin serta Ketua Jabatan Kejururawatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dayang Zuraina Abang Kashim. -EDISI UKAS