Stadium Sarawak Berwajah Baharu, Tampil Reka Bentuk Lebih Moden Menjelang Sukan SEA 2027
KUCHING: Stadium Sarawak bakal tampil dengan imej baharu menerusi penggantian struktur bumbung dan penaiktarafan reka bentuk luaran yang lebih moden sebagai persiapan penganjuran temasya Sukan SEA 2027.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerja-kerja berkenaan merangkumi pemasangan kekuda bumbung baharu yang akan mengubah sepenuhnya siluet stadium apabila dilihat dari luar.
Menurutnya, selain itu keseluruhan tempat duduk penonton akan diganti dengan kerusi jenis lipat bagi meningkatkan keselesaan serta memberi susun atur lebih kemas dan sistematik.
"Reka bentuk pintu masuk utama turut dinaik taraf bagi menyediakan laluan ketibaan rasmi yang lebih teratur dan berprestij, khususnya untuk majlis pembukaan dan acara berskala besar.
“Penambahbaikan ini bukan sekadar pembaikan fizikal, tetapi melibatkan elemen seni bina dan kemudahan dalaman termasuk ruang pegangan serta bilik khas bagi memenuhi keperluan acara antarabangsa,” jelasnya.
Kerja-kerja dijangka siap pada Jun 2027 bagi memberi ruang kepada ujian teknikal termasuk sistem pencahayaan serta persediaan raptai sebelum majlis pembukaan berlangsung.
Beliau turut menyatakan bahawa kapasiti 40,000 tempat duduk sedia ada adalah memadai untuk menampung keperluan penganjuran berdasarkan jumlah penduduk Kuching dan kawasan sekitarnya.
Sarawak akan menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027 dengan penganjuran 17 acara sukan, sekali gus menandakan peranan signifikan negeri ini dalam sejarah temasya berkenaan yang sebelum ini tertumpu di ibu negara.-EDISI UKAS
Wartawan: Lonney Jinab Doris
Jurugambar: George S. Embie