Sesi Townhall Ombudsman Zon Utara Perkasa Budaya Integriti, Tingkat Kualiti Penyampaian Perkhidmatan Awam
MIRI: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh tadbir urus yang telus, berintegriti dan berakauntabiliti terus diperkasa menerusi penganjuran Sesi Townhall Ombudsman Bersama Penjawat Awam Sarawak dan Komuniti Zon Utara.
Program bertemakan ‘Mediating Justice’ itu menjadi platform penting dalam merapatkan hubungan antara kerajaan dan rakyat, selain membuka ruang dialog bagi meneliti pengalaman serta cabaran masyarakat ketika berurusan dengan agensi awam.
Majlis perasmian berlangsung di Pullman Miri Waterfront pada Khamis telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato Murshid Diraja Datuk Dr. Juanda Jaya.
Dalam ucapannya, Dr. Juanda menegaskan penubuhan Ombudsman Sarawak merupakan satu langkah reformasi penting bagi memastikan prinsip keadilan, ketelusan dan akauntabiliti terus menjadi tunjang dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.
“Sebuah pentadbiran yang tidak mendengar adalah pentadbiran yang gagal. Kerajaan negeri berusaha membina sistem yang bukan sahaja mendengar dengan telinga, tetapi juga dengan hati,” katanya.
Menurut beliau, sesi townhall berkenaan bukan sekadar platform dialog, sebaliknya menjadi medan penting untuk mendengar secara langsung pandangan, cabaran dan keluhan rakyat serta penjawat awam bagi tujuan penambahbaikan berterusan.
Beliau turut menjelaskan bahawa peranan Ombudsman tidak terhad kepada menerima dan menyiasat aduan semata-mata, tetapi turut bertindak sebagai pemangkin reformasi sistemik dengan mengenal pasti punca masalah berulang dalam pentadbiran awam, termasuk kelemahan prosedur, kekurangan pemantauan serta budaya kerja yang tidak selari dengan prinsip integriti.
“Ombudsman hadir bukan untuk menghukum, tetapi untuk membantu kita mengenal pasti kelemahan yang mungkin tidak kita sedari. Mereka membantu kita menjadi lebih baik,” ujarnya.
Tambah beliau, laporan serta cadangan yang dikemukakan oleh Ombudsman memberi peluang kepada agensi kerajaan menambah baik sistem sedia ada, sekali gus memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan secara menyeluruh.
Sehubungan itu, penjawat awam diseru agar melihat Ombudsman sebagai rakan strategik dalam memperkasa kualiti perkhidmatan, manakala Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum (KMKK) digalakkan untuk terus menyuarakan pandangan secara berhemah demi mencetus perubahan yang konstruktif.
Sesi townhall tersebut menghimpunkan kira-kira 500 peserta terdiri daripada penjawat awam negeri dan persekutuan, wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), State Owned Enterprise (SOE), badan berkanun serta pemimpin masyarakat setempat.
Antara yang hadir ialah Residen Bahagian Miri, Galong Luang dan barisan KMKK Daerah Miri.-EDISI UKAS