Projek Naik Taraf CIQ Sungai Tujuh Capai 88 Peratus, Siap Mac 2026
MIRI: Projek naik taraf dan penambahan lorong ketibaan serta pelepasan termasuk pembinaan kaunter imigresen dan kastam di Kompleks CIQ Sungai Tujuh kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 88 peratus berbanding 91 peratus yang dijadualkan, sekali gus mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kecekapan operasi di pintu sempadan utama negeri.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak itu dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di pintu sempadan Sungai Tujuh, khususnya ketika musim perayaan dan waktu puncak.
Menurut beliau, projek berkenaan bermula pada 10 Mac 2025 dan pada asalnya dijadualkan siap pada 9 Disember 2025, namun telah melalui tiga kali lanjutan masa (Extension of Time) melibatkan tempoh keseluruhan selama 84 hari.
“Antara faktor yang menyumbang kepada kelulusan EOT termasuk isu pengosongan dan penyerahan tapak, kelewatan penyelarasan bersama agensi di tapak, pindaan kepada pelan asal serta pelaksanaan kerja-kerja tambahan yang tidak termasuk dalam skop asal projek bagi memenuhi keperluan operasi semasa agensi penguatkuasaan di CIQ,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Susulan kelulusan lanjutan tersebut, tarikh siap baharu projek ditetapkan pada 3 Mac 2026.
Beliau menjelaskan perbezaan kemajuan sekitar tiga peratus ketika ini masih berada dalam julat toleransi dan dijangka dapat ditangani dalam tempoh terdekat.
Dalam perkembangan berkaitan, satu mesyuarat telah diadakan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi meneliti kemungkinan pelaksanaan pembukaan secara berperingkat (soft opening) terhadap kemudahan yang telah siap, tertakluk kepada keputusan akhir agensi terlibat.
Pada Khamis ini, ujian serta proses penyerahan akan dilaksanakan melibatkan lapan kaunter individu Kastam, dua kaunter perkongsian Imigresen dan Kastam serta satu kaunter Imigresen bagi lorong lori.
Sekiranya semua ujian berjalan lancar dan sistem berfungsi dengan baik, operasi akan dimulakan serta-merta.
Pada peringkat awal, pihak Kastam akan mengoperasikan lima kaunter individu dan dua kaunter perkongsian, manakala pihak Imigresen akan mengoperasikan satu kaunter bagi lorong lori.
Baki tiga kaunter Imigresen dan empat kaunter Kastam pula dijangka diserahkan kepada agensi berkaitan menjelang akhir Februari 2026.
Dato Sri Lee menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak komited memastikan projek ini dapat disiapkan sepenuhnya mengikut jadual baharu demi meningkatkan kecekapan operasi, melancarkan aliran trafik di pintu sempadan Sungai Tujuh serta memberi keselesaan kepada pengguna yang keluar masuk melalui sempadan tersebut.-EDISI UKAS