KUCHING: Usaha mengangkat sejarah dan identiti Padungan melalui penghasilan seni mural bukan sahaja memperkukuh nilai warisan, malah menyerlahkan potensi Kuching sebagai bandar kreatif yang berteraskan seni awam.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, seni mural dalam membentuk identiti visual sesebuah bandar raya, sekali gus mewujudkan suasana yang lebih hidup, dinamik dan berdaya tarikan.
Menurut beliau, pendekatan tersebut merupakan langkah strategik dalam memperkasakan landskap bandar melalui sentuhan seni yang dekat dengan masyarakat, selain memperkukuh tarikan pelancongan berasaskan budaya dan sejarah.
“Projek ini dilaksanakan bersempena sesuatu acara dan memerlukan perancangan yang teliti. Kita akan mempertimbangkan kepentingannya sekiranya ingin diperluaskan ke tempat lain.
"Saya sedar kini perkara ini telah menjadi satu minat dalam kalangan pemilik bangunan. Mereka mahu melihat mural di bangunan masing-masing.
"Jadi, mereka boleh mengemukakan cadangan kepada pihak MBKS atau kementerian, dan kita akan meneliti setiap permohonan itu berdasarkan pertimbangan,"katanya ketika berucap pada sidang media selepas menyempurnakan majlis ringkas perasmian tujuh seni mural khas sempena sambutan 100 tahun Padungan, dengan tema 'Meraikan Satu Abad Sejarah, Budaya dan Komuniti' anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), di sini pada Khamis.
Mural-mural berkenaan dihasilkan oleh artis tempatan, Leonard Siaw yang menampilkan perjalanan Padungan sejak lebih satu abad lalu, termasuk kedatangan komuniti Cina yang berhijrah dan membangunkan kawasan tersebut sehingga menjadi antara nadi penting bandar raya Kuching hari ini.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, Leonard bukanlah nama asing dalam dunia seni mural kerana beliau telah menghasilkan pelbagai karya ikonik di sekitar Kuching, termasuk di India Street, Batu 10 serta mural bertemakan kumpulan jazz di Riverside Hotel.
Tambah beliau, karya seni seumpamanya menjadikan Kuching lebih vibrant dan menarik perhatian pengunjung, yang sering menjadikan mural sebagai latar belakang untuk bergambar sebelum dikongsi di media sosial, secara tidak langsung membantu mempromosikan bandar raya Kuching ke peringkat lebih luas apabila gambar-gambar tersebut tersebar ke seluruh dunia.
“Inilah contoh bagaimana warisan dan kreativiti boleh digabungkan untuk memperkukuh identiti bandar serta memberi manfaat kepada komuniti,” ujarnya.
Dengan pendekatan berteraskan seni dan warisan, Padungan kini bukan sahaja diraikan sebagai kawasan bersejarah, malah semakin dikenali sebagai lokasi tumpuan yang mencerminkan identiti kreatif bandar raya Kuching.
Majlis ringkas itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Morshidi Fredrick serta tetamu lain.-EDISI UKAS