SUK Sarawak Mengadakan Lawatan Kerja Ke Pejabat Daerah Pantu, Pejabat Daerah Kecil Engkilili & Pejabat Daerah Lubok Antu
SRI AMAN: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki telah mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Daerah Pantu, Pejabat Daerah Kecil Engkilili dan Pejabat Daerah Lubok Antu pada Khamis.
Lawatan pertama beliau telah dimulai di Pejabat Daerah Pantu dengan Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh memaklumkan pelan pembinaan Pejabat Daerah Pantu baharu di atas tanah seluas 50 ekar dan kuaters kakitangan baharunya di atas tanah seluas 2.6 ekar.
Setelah turut mendengar taklimat daripada Pegawai Daerah Pantu, Raca Mulong dan meninjau tapak projek, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar bersama rombongan kemudiannya meneruskan lawatan kerja di Pejabat Daerah Kecil Engkilili.
Pegawai Daerah Lubok Antu Akoi Ejau melalui taklimatnya memaklumkan bahawa tapak pembinaan kuaters baharu untuk 13 kakitangan Pejabat Daerah Kecil Engkilili sudah pun diluluskan.
Akoi turut memaklumkan tiga cadangan tapak bagi tujuan Pejabat Daerah Kecil Engkilili yang baharu iaitu di tapak A jenis tanah kerajaan negeri seluas 1.51 ekar, tapak B jenis tanah berhak milik seluas 4.99 ekar dan tapak C jenis tanah berhak milik seluas 7.87 ekar.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar bersama rombongan kemudiannya meneruskan lawatan ke tapak cadangan pembinaan kuaters kakitangan Pejabat Daerah Lubok Antu sebelum menghadiri taklimat di pejabat berkenaan.
Terdahulu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar dalam ucapan ringkasnya di Pejabat Daerah Pantu mahu projek-projek terbabit bermula segera agar ia tidak dibangkitkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan datang.
"Kita kini berada dalam tahun pelaksanaan. Atas sebab ini, saya mahu semua pihak tanpa mengira latar belakang kaum bekerja sebagai satu pasukan bagi membolehkan projek ini bermula segera," katanya.
Turut menyertai lawatan kerja itu adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua.-EDISI UKAS