SARIKEI: Sebanyak tiga projek Program Mesra Rakyat (PMR) akan dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar Parlimen Sarikei melibatkan kerja menaik taraf serta pembinaan jalan konkrit bagi kemudahan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pelaksanaan projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menambah baik kemudahan asas yang menjadi keperluan harian masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, usaha berkenaan bertujuan memastikan jaringan perhubungan di kawasan terlibat berada dalam keadaan lebih baik, selamat serta mampu menyokong perkembangan sosioekonomi penduduk setempat.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan rakyat agar kemudahan yang disediakan benar-benar memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.
Dato’ Sri Huang menambah, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan berterusan bagi memperkukuh infrastruktur luar bandar di bawah Parlimen Sarikei.
Antara lokasi terlibat ialah Jalan Yek Nai Chie, Jalan Ting Heng Ing serta Jalan Yii Ung Ngie di Kilometer 11, Jalan Kelupu Bintangor yang sering digunakan penduduk sekitar bagi urusan harian.
Pelaksanaan projek ini diharap dapat meningkatkan tahap kemudahan awam, memudahkan pergerakan penduduk serta memberi impak positif terhadap pembangunan setempat.-EDISI UKAS