SADA Perkukuh Penyelarasan Strategik Bersama SEB di Empangan Batang Ai
BATANG AI: Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi membangunkan kawasan sekitar Empangan Batang Ai.
Sesi pertemuan pada Khamis itu diadakan untuk menyelaras perancangan pembangunan infrastruktur serta menilai potensi pengembangan industri pelancongan di sekitar empangan berkenaan.
Delegasi SADA diketuai oleh Pengerusinya Dato Sri Rohani Abdul Karim, bersama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman Charlie Keling, Pegawai Tadbir Khas SADA Alfred Geling Ason serta wakil agensi pelaksana dan teknikal projek.
Dalam taklimat tersebut, pihak SEB membentangkan hala tuju pembangunan semasa dan perancangan jangka panjang di kawasan empangan, meliputi pengurusan kemudahan infrastruktur, pemeliharaan alam sekitar serta peluang penjanaan nilai ekonomi kepada komuniti setempat.
Menurut SADA, pertemuan itu signifikan dalam memastikan segala perancangan di kawasan strategik seperti Empangan Batang Ai dapat dilaksanakan secara terselaras dan komprehensif, dengan mengambil kira keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat.
“Empangan Batang Ai bukan sahaja memainkan peranan penting dalam penjanaan tenaga, malah mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi.
“Justeru, penyelarasan awal antara agensi adalah penting bagi mengelakkan pertindihan perancangan serta memastikan pembangunan yang lebih mampan dan terancang,” menurut kenyataan tersebut.
Selain itu, sesi berkenaan turut menyaksikan perbincangan dua hala yang konstruktif antara SADA, SEB dan agensi terlibat bagi mengenal pasti isu teknikal serta keperluan penyelarasan pada peringkat awal pelaksanaan projek.
Kerjasama erat antara kedua-dua pihak diyakini mampu menjadi pemacu kepada pembangunan menyeluruh di Empangan Batang Ai, sekali gus mempercepat transformasi Bahagian Sri Aman sebagai wilayah yang progresif dan berdaya saing. -EDISI UKAS