BINTANGOR: Dewan utama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang, di sini, bakal dinaik taraf melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM160,000 bagi meningkatkan piawaian sistem elektrik dan pemasangan paparan LED berteknologi terkini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek tersebut melibatkan penambahbaikan sistem elektrik serta pemasangan paparan LED berteknologi terkini.
Menurut beliau, langkah itu bertujuan memastikan penggunaan peralatan elektrik lebih efisien dan selamat, khususnya ketika penganjuran program berskala besar.
“Pemasangan skrin LED ini membolehkan penyampaian maklumat serta visual multimedia dipaparkan dengan lebih jelas dan profesional, selaras dengan perkembangan digital masa kini,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan pada Rabu.
Datuk Ding berkata, projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kemudahan institusi pendidikan agar lebih selesa, selamat dan memenuhi keperluan semasa.
“Dewan ini bukan sahaja digunakan untuk aktiviti akademik dan latihan perguruan, malah turut menjadi lokasi penganjuran majlis rasmi, program komuniti, seminar serta pelbagai aktiviti yang melibatkan masyarakat setempat.
“Langkah ini bertepatan dengan hasrat untuk memperkasa kemudahan awam, mengurangkan jurang pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan penduduk, khususnya di kawasan luar bandar,” ujarnya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan IPG Kampus Rajang, kontraktor serta agensi terlibat atas kerjasama yang diberikan sehingga projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan disiapkan mengikut jadual.
Dalam pada itu, Datuk Ding menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus komited menyalurkan peruntukan RTP dan melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan lain yang memberi impak langsung kepada institusi pendidikan di kawasan DUN Meradong.
Beliau turut menekankan kepentingan IPG Kampus Rajang dalam melahirkan tenaga pengajar berkualiti sekali gus menyokong agenda pembangunan modal insan di Sarawak dan Malaysia. -EDISI UKAS