Sukan Bentuk Pelajar Seimbang Akademik, Jasmani dan Sahsiah
KAPIT: Sukan memainkan peranan penting dalam membentuk pelajar yang seimbang dari segi akademik, jasmani dan sahsiah.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, sukan bukan sahaja membina kecergasan fizikal, malah memperkukuh kestabilan mental serta ketahanan emosi pelajar.
“Melalui kejohanan merentas desa ini, pelajar dapat memupuk disiplin, semangat juang dan keyakinan diri, sejajar dengan usaha membentuk mereka menjadi individu yang seimbang dari segi jasmani dan rohani,” katanya pada majlis penangguhan Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Kapit 2026 di Stadium Terbuka SSC Kapit pada Khamis.
Datuk Jefferson Jamit turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kapit serta Jawatankuasa MSSB Kapit atas komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan sukan sekolah.
Menurutnya, kejayaan kontinjen MSSB Kapit menjuarai kejohanan merentas desa peringkat negeri sebanyak empat kali sebelum ini membuktikan potensi besar atlet muda di Bahagian Kapit.
Beliau berharap kecemerlangan tersebut dapat diteruskan pada kejohanan peringkat negeri di PPD Julau bermula 30 Mac hingga 2 April 2026, seterusnya melangkah ke peringkat kebangsaan di Pulau Labuan.
MSSB Kapit 2026 menyaksikan penyertaan daripada 62 sekolah rendah dan tujuh sekolah menengah di seluruh Bahagian Kapit.
Dalam keputusan keseluruhan, kategori sekolah rendah menyaksikan SK Sungai Amang muncul juara, diikuti SK Nanga Nyimoh sebagai naib juara dan SK Kampung Baru di tempat ketiga.
Manakala, bagi kategori sekolah menengah, SMK Kapit dinobatkan sebagai juara keseluruhan, diikuti SMK Kapit No. 2 sebagai naib juara dan SMK Selirik di tempat ketiga.
SMK Kapit turut mencipta pencapaian membanggakan apabila muncul juara keseluruhan lima kali berturut-turut.
Turut hadir semasa majlis itu ialah Pegawai Pendidikan Daerah Kapit Kumbong Garit, Pegawai Pendidikan Daerah Song Linggi Baling, Pengerusi Majlis Pertubuhan Guru Besar Daerah Kapit Joseph Arthur Taboh, barisan pengetua dan guru besar sekolah terlibat serta para jurulatih dan peserta kejohanan.-EDISI UKAS