Pelantikan KMKK Dibuat Berasaskan Kelayakan, Keupayaan Tadbir Urus
BINTULU: Proses pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) seperti tuai rumah, penghulu dan pemanca perlu dibuat berdasarkan kelayakan akademik serta keupayaan mentadbir bagi memastikan pengurusan kampung lebih tersusun dan berkesan.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, penetapan syarat minimum memiliki sijil Tingkatan Lima bagi pelantikan baharu adalah langkah selaras dengan keperluan dan cabaran semasa.
Menurut beliau, pemimpin yang mempunyai asas pendidikan yang baik lebih berupaya mengurus dokumentasi, menyediakan laporan serta berkomunikasi secara rasmi dengan agensi kerajaan dan pihak berkaitan.
“Namun begitu, terdapat juga calon yang tidak memiliki kelulusan Tingkatan Lima tetapi mempunyai pengalaman luas dalam sektor kerajaan, keselamatan atau perkhidmatan awam. Golongan ini masih boleh dipertimbangkan mengikut kesesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Juh Ngopi Ngan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Tatau, pada Khamis, yang turut dihadiri Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Tegas beliau, bagi pelantikan baharu, keutamaan harus diberikan kepada individu yang berpengetahuan dan berkeupayaan supaya pentadbiran kampung dapat dilaksanakan secara lebih cekap dan sistematik.
“Antara isu yang sering timbul ialah kelemahan dalam penyediaan laporan kerana kurang kemahiran menggunakan komputer. Perkara ini perlu diberi perhatian,” jelasnya.
Tambah beliau, kepimpinan berkualiti amat penting bagi memastikan pembangunan rumah panjang dan kampung dapat dilaksanakan seiring dengan aspirasi serta kehendak masyarakat setempat.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar proses pemilihan KMKK dilaksanakan secara telus dan adil tanpa dipengaruhi sebarang kepentingan tertentu.
“Pemilihan yang berintegriti mampu melahirkan barisan pemimpin yang dihormati dan diyakini masyarakat,” ujarnya lagi.-EDISI UKAS