CENTEXS Rai Sedekad Pembangunan Bakat Sempena Konvokesyen Ke-10, Perkukuh Agenda Tenaga Kerja Mahir Sarawak
KUCHING: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) meraikan Konvokesyen Ke-10 menandakan sedekad kecemerlangan dalam pembangunan bakat serta penghasilan tenaga kerja sedia industri sejajar dengan agenda pembangunan negeri.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, CENTEXS bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran tinggi, malah institusi itu berjaya menghasilkan graduan yang benar-benar memenuhi keperluan industri melalui latihan berasaskan kompetensi.
“Saya berbangga untuk mengumumkan bahawa CENTEXS menghasilkan graduan yang bersedia untuk pekerjaan.
“Matlamat utama program latihan kompetensi berasaskan industri ini adalah untuk membangunkan graduan dan profesional yang dilengkapi kemahiran diperlukan majikan merentasi pelbagai sektor industri,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan di sini pada Khamis.
Majlis konvokesyen yang berlangsung dari 10 hingga 13 Februari di Dewan Serbaguna, CENTEXS Kuching itu menyaksikan seramai 2,496 graduan diraikan, menjadikan jumlah keseluruhan graduan sejak 2015 mencecah 26,063 orang.
Konvokesyen kali ini turut mencatat sejarah dengan pengiktirafan kohort perintis Program Aeroangkasa melibatkan 36 graduan dalam bidang Aeroangkasa Lembaran Logam dan Operasi Pemesinan yang kesemuanya telah menerima tawaran pekerjaan.
Dalam usaha memperkukuh kerjasama industri, CENTEXS turut memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) strategik bersama HUAWEI Technologies (Malaysia) Sdn Bhd dan GAMUDA Technologies.
Kerjasama bersama HUAWEI memperluas inisiatif CENHUA 2.0 melibatkan latihan, penyelidikan dan projek rintis dalam bidang analitik data, Model Bahasa Besar (LLM) serta kecerdasan buatan (AI), termasuk pelaksanaan program Kecemerlangan Kepimpinan Digital Sarawak (SDLE).
Sementara itu, kolaborasi dengan GAMUDA Technologies memberi fokus kepada pembangunan kepakaran dalam pembinaan digital, AI untuk pembinaan, pengurusan digital, terowong pintar dan pembangunan bandar pintar.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran kemudahan makmal baharu CENHUA 2.0 antaranya Makmal Pusat Data Hijau Berskala Besar, Pusat Kecerdasan Buatan (AI) Global, Makmal Kecerdasan Buatan untuk Model Bahasa Besar (LLM), Makmal Kepimpinan Digital serta Makmal Kecerdasan Buatan untuk Pembinaan (GAMUDA).
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis dan Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Pengerusi CENTEXS Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani, Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Junaidi Mohidin, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman, ahli-ahli Lembaga Pengarah CENTEXS serta ketua-ketua jabatan.
Konvokesyen ke-10 ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan modal insan sebagai teras utama mencapai sasaran Sarawak menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.-EDISI UKAS