SUK Sarawak Tinjau Projek Pembangunan Kerajaan Di Saratok & Kabong
SARATOK: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki mengadakan lawatan kerja ke Daerah Saratok dan Daerah Kabong hari ini bagi meninjau pelbagai projek pembangunan dan cadangan pembangunan infrastruktur kerajaan.
Dalam lawatan tersebut, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menerima taklimat mengenai cadangan tapak pembinaan Pejabat Daerah Baharu Saratok serta kawasan cadangan kuarters bagi kakitangan kerajaan.
Selain itu, beliau turut dimaklumkan tentang cadangan pembinaan Anjung Kalaka yang dijangka memberi kemudahan tambahan kepada orang ramai.
Beliau juga sempat mengunjungi Pejabat Daerah Kecil Roban bagi meninjau tapak cadangan pembinaan Pejabat Daerah Kecil yang baharu.
Lawatan itu diteruskan ke Kabong untuk meninjau projek pembangunan Dewan Baharu Kabong serta pelaksanaan pembinaan Pejabat Daerah Kabong yang baharu, yang terletak berhampiran Jalan ke Tanjong Kembang.
Hadir sama dalam lawatan ini ialah ADUN Kalaka, Mohamad Duri, ADUN Krian, Friday Belik, Residen Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Pegawai Daerah Saratok Mohamad Dino Amit, Pegawai Daerah Kabong, Tahir Mohd Sharee serta pegawai kerajaan dan kakitangan Pejabat Daerah.
Lawatan kerja ini bertujuan memastikan perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan di Daerah Saratok dan Kabong selaras dengan kehendak kerajaan negeri serta memenuhi keperluan rakyat di kawasan tersebut.-EDISI UKAS