SABERKAS Rekod 162 Program Dalam Tempoh Tujuh Bulan
KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) berjaya menganjurkan 162 program dan aktiviti di seluruh negeri sepanjang tempoh Julai 2025 hingga Januari 2026, mencerminkan peranan aktifnya dalam memperkasa belia dan komuniti.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program tersebut merangkumi bengkel, sukan, kebudayaan, kebajikan serta latihan kemahiran yang dilaksanakan di peringkat negeri, cawangan dan unit.
“Sepanjang tempoh tujuh bulan tersebut, sebanyak 162 program dan aktiviti telah diadakan oleh SABERKAS di peringkat negeri, cawangan dan unit,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SABERKAS Sarawak Ke-60 di Kuching, Khamis.
Beliau berkata, jumlah keahlian SABERKAS kini mencecah 56,750 orang setakat 31 Januari 2026 termasuk 1,387 ahli di institusi pengajian tinggi.
Menurutnya, antara program utama yang dirancang tahun ini ialah Kejohanan Futsal Piala Presiden SABERKAS pada Mei serta program Bubur Lambuk yang menjadi aktiviti ikonik tahunan.
Dalam sidang media sama, beliau turut menyentuh isu pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang menurutnya dibuat melalui proses penilaian dan risikan, bukannya melalui pilihan raya.
“Pemimpin KMKK perlu mempunyai ilmu pengetahuan, perwatakan baik, memahami masyarakat yang dipimpin serta mempunyai pegangan kepercayaan. Pelantikan dibuat melalui proses penilaian oleh pihak berkaitan dan disahkan di peringkat tertinggi,” katanya.
Beliau menambah, had umur serta peningkatan elaun yang dilaksanakan kerajaan merupakan antara penambahbaikan bagi memastikan sistem pelantikan KMKK kekal relevan dan berkesan.
Secara keseluruhan, beliau menyifatkan perkembangan SABERKAS ketika ini amat memberangsangkan dengan pelbagai program diadakan hampir setiap minggu di seluruh Sarawak, sekali gus melahirkan barisan kepimpinan muda yang berpotensi untuk masa depan negeri.-EDISI UKAS