Media Perlu Jadi Rakan Strategik Pembangunan Sarawak Dalam Era Digital
KUCHING: Media di Sarawak perlu memperkukuh peranan sebagai rakan strategik pembangunan negeri dengan mengutamakan laporan yang adil, bertanggungjawab dan seimbang terutamanya dalam mendepani cabaran era digital yang semakin kompleks dan pantas.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, landskap media masa kini telah berubah apabila sesiapa sahaja boleh menjadi penyampai maklumat melalui telefon pintar dan media sosial.
“Sekarang semua orang beranggapan mereka pempengaruh media. Dengan telefon sahaja boleh buat pelbagai perkara, sesetengah pengguna ada yang sebarkan maklumat yang salah, tidak lengkap dan ada yang sangat pandai berpolitik sehingga perkara baik menjadi buruk,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Bersama Media sempena Tahun Baharu Cina 2026 pada Khamis.
Bagaimanapun menurut beliau, media atau kewartawanan profesional kekal penting sebagai rujukan sahih kepada masyarakat dan perlu memastikan laporan dibuat secara adil serta seimbang.
Datuk Amar Profesor Dr. Sim menegaskan laporan positif bukan bertujuan memuji mana-mana pihak sahaja, sebaliknya memastikan penyampaian maklumat yang menyeluruh dan seimbang kepada masyarakat.
Menurutnya, pengamal media digesa mengekalkan pendekatan profesional dengan memberi gambaran penuh terhadap sesuatu isu agar rakyat memperoleh pemahaman yang tepat.
Pada masa sama, pengamal media diseru agar membantu memupuk naratif positif demi kemajuan Sarawak pada masa hadapan.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Ir. Lo Khere Chiang, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng, pengamal media serta tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ameerul Syafiq Khir