Lampu Tahun Baharu Cina Terangi Pekan Paku, Pacu Sektor Pelancongan Setempat
BAU: Pekan Paku terus mencuri perhatian apabila Majlis Perasmian Penyalaan Lampu Tahun Baharu Cina 2026 berlangsung dalam suasana penuh meriah dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh.
Dalam ucapannya, beliau berkata hiasan lampu Tahun Baharu Cina yang menghiasi Pekan Paku berpotensi menjadi salah satu tarikan ikonik di daerah Bau, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja menyemarakkan sambutan perayaan, malah berupaya menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar kawasan, seterusnya memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil serta penduduk setempat.
“Sekiranya usaha ini diteruskan dan diperkasakan dari semasa ke semasa, Pekan Paku boleh muncul sebagai lokasi tumpuan baharu setiap kali musim perayaan,” katanya di sini semalam.
Beliau turut memaklumkan bahawa selain hiasan lampu yang menarik, kawasan Pekan Paku mempunyai beberapa lokasi berpotensi seperti taman rekreasi serta sumber air panas yang boleh dimajukan sebagai produk pelancongan tambahan.
Jelasnya, penyelarasan antara elemen kebudayaan, tarikan semula jadi dan penglibatan komuniti setempat mampu menjadikan Pekan Paku sebagai destinasi pelancongan berkonsepkan komuniti yang mampan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Paku atas komitmen serta usaha gigih menjayakan majlis tersebut, termasuk penyediaan hiasan lampu yang menceriakan suasana malam perasmian.
Menurut beliau lagi, penyalaan lampu berkenaan bukan sekadar simbol kemeriahan Tahun Baharu Cina, malah mencerminkan semangat perpaduan, keharmonian serta kebersamaan rakyat Sarawak yang berbilang kaum.
“Sambutan seperti ini memperlihatkan bagaimana kepelbagaian budaya diraikan bersama dalam suasana saling menghormati dan hidup harmoni,” ujarnya.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran pemimpin masyarakat setempat, wakil agensi kerajaan serta penduduk sekitar yang bersama-sama memeriahkan acara tahunan berkenaan.-EDISI UKAS